Media sosial penuh dengan spin tuduh DAP anti-Islam, kata Hannah
Hannah hanya mahu tahu pelan tangani perkahwinan bawah umur diteruskan atau tidak
BEKAS Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Hannah Yeoh kesal dituduh sebagai anti-Islam.
Ini berikutan ciapannya di Twitter yang bertanyakan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur setelah Timbalan Menteri KPWKM daripada PAS dilantik.
Jelas Hannah, pelan tersebut telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri pada bulan Januari lalu mengandungi senarai program yang memerlukan kerjasama 61 buah agensi kerajaan untuk menangani perkahwinan bawah umur dalam masa lima tahun.
Justeru beliau mahu tahu sama ada pelan itu akan diteruskan atau tidak oleh pentabiran baharu.
“Saya bertanyakan ini kerana pentadbiran Pakatan Harapan telah berusaha dengan kuat dalam 20 bulan yang lalu untuk memahami dan mencari penyelesaian kepada masalah perkahwinan bawah umur kerana ini terkandung dalam manifesto kami.
“Tetapi adakah Perikatan Nasional mempunyai manifesto dan tekad yang sama?” tanya Hannah.
Dalam Twitternya sebelum ini Ahli Parlimen DAP itu menulis, “Bagaimanakah negara boleh membendung gejala perkahwinan bawah umur jika timbalan menteri KPWKM datang daripada PAS?”
Ciapan itu bagaimanapun tidak disenangi beberapa pihak dan mendakwa Hannah sebagai anti-Islam.
“Gambar ini merupakan salah satu facebook page yang telah spin perkara ini dengan mengaitkan komen netizen dengan tweet saya.
“Mereka memfitnah saya anti-Islam dengan mengaitkan komen orang lain dengan tweet saya. Beginilah ruang media sosial hari ini – penuh dengan spin yang cepat untuk menuduh DAP anti-Islam.
“Mana mungkin banyak komen yang setiap hari di media sosial membalas tweet saya itu boleh dianggap saya ini anti-Islam sedangkan ia bukannya daripada saya,” jelas Hannah.-SM