Filem ‘Tengkang’ mengangkat keindahan budaya kelabit dari Bario, Sarawak
SEMALAM, Tayangan Perdana filem ‘Tengkang’ telah berlangsung, menonjolkan sebuah kisah yang sarat dengan keindahan alam semula jadi dan budaya masyarakat pedalaman Sarawak, khususnya kaum Kelabit.
Filem tempatan ini, diterbitkan oleh MyContent Distribution Sdn Bhd, membawa penonton ke dalam perjalanan penuh emosi yang mencerminkan kisah cinta, kebebasan, serta janji yang dipenuhi dalam latar belakang yang unik.
Menurut Lyn Nasihin, penerbit eksekutif filem ini, tajuk ‘Tengkang’ diambil daripada bahasa kaum Kelabit yang bermaksud ‘Pelangi’. Pengarah filem ini, membawa idea asalnya yang begitu kuat, dengan jalan cerita yang menyentuh hati.
“Filem ini bukan sekadar sebuah kisah cinta, tetapi juga menyentuh tema-tema seperti kasih sayang, kebebasan, dan keteguhan berpegang pada janji,” ujar Lyn ketika ditemui.
Tengkang membawa penonton menyelami kehidupan seorang pelancong, Hanafi (lakonan Syafie Naswip), yang bertemu dengan seorang gadis tempatan, Rinai (Michelle Lungan), di sebuah kampung terpencil di Bario, Sarawak. Kehadiran Hanafi ternyata mengubah hidup Rinai, yang akhirnya mendedahkan sebuah rahsia lama yang telah lama tersembunyi.
Satu keistimewaan filem ini ialah penggunaan 99% pelakon tempatan Kelabit dan hampir keseluruhan penggambarannya dilakukan di Bario, sebuah kawasan pedalaman yang jarang disorot dalam dunia filem. Lyn berkata, ini adalah usaha untuk memperkenalkan dunia yang lebih luas tentang budaya Kelabit yang sangat unik.
“Tengkang bukan hanya mengangkat kisah cinta, tetapi juga mengisahkan kehidupan masyarakat Kelabit yang jarang diketengahkan. Masyarakat luar mungkin lebih mengenali Sarawak melalui cerita headhunting atau Bujang Senang, tetapi Sarawak sebenarnya kaya dengan budaya dan tempat-tempat yang menakjubkan,” tambahnya.
Selain itu, filem ini juga telah meraih penghargaan besar, dengan memenangi Anugerah Juri di Festival Lift-Off, yang berlangsung di Pinewood Studios, UK. Filem ini juga dipilih sebagai Filem Penutup pada Festival Filem Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIFF) 2024. Tidak hanya itu, Tengkang berjaya merangkul beberapa anugerah utama di Borneo Arts and Creative Awards (BACA) 2024, termasuk Pelakon Wanita Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik, dan Filem Cereka Terbaik di Kuching pada September lalu.
“Ini adalah penghormatan yang besar, bukan hanya untuk filem ini, tetapi juga bagi industri filem tempatan yang semakin mendapat perhatian di kalangan penonton antarabangsa,” ujar Lyn dengan penuh rasa bangga.
Bagi pengarah Josh Nawan, idea untuk menghasilkan filem ini datang daripada pengalaman hidupnya sendiri dibesarkan di kawasan pedalaman.
“Cerita dalam filem ini sebenarnya berkaitan rapat dengan kisah datuk saudara saya. Saya rasa kisahnya sangat menarik dan berpotensi untuk diangkat menjadi sebuah filem,” jelas Josh.
“Perjalanan ke Bario sahaja memakan masa 15 jam. Cuaca yang sejuk juga menyebabkan beberapa kru jatuh sakit. Walaupun begitu, kami bersyukur kerana semuanya berjalan lancar,” tambah Josh.
Sebagai pengarah, Josh berharap Tengkang akan diterima baik oleh penonton di dalam dan luar negara, serta menjadi platform untuk masyarakat dunia mengenali lebih dekat tentang Bario dan kaum Kelabit.
Hasratnya juga adalah untuk memperbanyakkan lagi filem budaya seperti ini dan memperkenalkan budaya Sarawak yang lebih luas di masa akan datang.
‘Tengkang’ akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 28 November 2024. Sebuah kisah cinta yang penuh dengan rahsia, yang mengungkapkan kisah kehidupan di sebuah kampung terpencil di Bario, menanti untuk memikat hati penonton.