Pembangkang desak Anwar dedah syarikat yang taja lawatan ke luar negara
AHLI Parlimen Pembangkang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta menyenaraikan senarai syarikat swasta yang menanggung kos lawatan beliau ke luar negara.
Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Anwar juga diminta menyatakan jumlah sebenar kos yang ditanggung serta pecahan perbelanjaan mengikut syarikat-syarikat yang terbabit.
“Apakah pulangan perniagaan atau ROI (return of investment) yang berjaya diperolehi oleh syarikat-syarikat ini?
“Apakah bentuk tatakelola yang diamalkan bagi mengelakkan unsur salah guna kuasa dan rasuah, jika syarikat-syarikat yang membiayai lawatan ini mendapat peluang perniagaan dari kerajaan?
“Nyatakan jumlah keseluruhan bilangan pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta yang terlibat di dalam rombongan ini yang ditanggung oleh dana syarikat berkenaan,” katanya di platform media sosial _Facebook_.
Afnan turut mempersoalkan Anwar yang pernah membatalkan satu lawatan ke luar negara membabitkan 68 orang pegawai kerajaan kerana dikatakan membazir.
“Bagaimana pula dengan lawatan pada kali ini? Adakah kos perjalanan anaknda Anwar juga turut ditanggung oleh syarikat berkenaan? Jika jawapannya “yes” berapakah amaun perbelanjaannya,” soalnya.
Pada Khamis, media melaporkan kos sekitar 70 hingga 80 peratus yang dibelanjakan membabitkan perjalanan dan lawatan rasmi Anwar ke lima negara ditanggung oleh syarikat swasta yang turut mengikuti urusan itu.
Anwar berkata, ia adalah pendekatan lain di bawah pentadbirannya untuk memastikan perbelanjaan bagi membiayai lawatan rasmi ke luar negara diuruskan dengan secekap mungkin.
Beliau berkata, syarikat yang membantu membiayai kos perjalanannya adalah mereka yang mempunyai kepentingan perniagaan dan pelaburan di negara ini.
Sebelum ini, Anwar melakukan lawatan kerja ke China dari 4 hingga 7 November lalu atas jemputan daripada rakan sejawatnya Li Qiang untuk menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China ketujuh (CIIE ke-7) di Shanghai.
Selepas itu, Perdana Menteri mengadakan lawatan ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil bermula 9 November sehingga kelmarin.