Festival Mahsuri 2024 menyatukan budaya dan kreativiti di Langkawi
BAGI menyatukan pelbagai komuniti budaya serta bakat kreatif sempena sambutan Mahsuri, Kota Mahsuri Management (Langkawi) Sdn Bhd bakal mengadakan satu acara Festival Mahsuri 2024 yang akan berlangsung pada 4 hingga 22 Disember 2024.
Objektif acara ini adalah untuk memupuk pertukaran budaya, kerjasama, dan pertumbuhan, sekaligus menjadikan Langkawi sebagai destinasi utama pengalaman kebudayaan bertaraf dunia.
Festival ini juga memberi peluang kepada pengunjung untuk menyelami tradisi Malaysia yang penuh warna sambil menggalakkan semangat kreatif dalam kalangan bakat tempatan dan antarabangsa.
Antara aktiviti yang akan ditampilkan adalah forum, permainan tradisional, pameran, bengkel, persembahan warisan, persembahan budaya, dan teater.
Persembahan teater Gema Wangsa Mahsuri akan dipentaskan oleh Produksi Teater Orkestra Melayu yang memukau.
Dengan arahan seni oleh Ku Anniq, bimbingan dan nasihat daripada pengarah terkenal YBhg Datuk Zahim AlBakri, serta orkestra penuh diketuai oleh Y.M. Ku Zahir bin Ku Ahmad (bekas pemuzik Istana Budaya), teater ini akan menghidupkan semula legenda Mahsuri dengan penampilan kumpulan bakat yang hebat.
Tiket boleh didapati di: www.ticket2u.com.my/mahsurifestival
Selain itu, terdapat juga platform untuk Pertukaran Budaya yang berhasrat memupuk kerjasama antara peserta tempatan dan antarabangsa, sekaligus memperkasa sektor seni, warisan, dan budaya serta mendidik generasi baharu dalam seni teater dan persembahan.
Menurut Eksekutif Festival Mahsuri dan Pengurus Pembangunan Perniagaan & Komunikasi Korporat Kota Mahsuri Management, Yang Mulia Ku Aliff Qayyum Ku Ahmad berkata rancangan ini dibuat pada tahun 2020, namun disebabkan oleh pandemik, ia terpaksa ditangguhkan sehingga 2024.
“Kami sangat teruja untuk merealisasikan Festival Mahsuri dan berkongsi kekayaan warisan Malaysia dengan dunia. Acara ini meraikan perpaduan dalam kepelbagaian, dan kami percaya ia akan meninggalkan kesan mendalam kepada pengunjung dengan menonjolkan yang terbaik daripada tradisi budaya Malaysia,” katanya.
Festival ini juga dijangka merangsang pertumbuhan pelancongan di Langkawi dengan tawaran pakej pelancongan menarik. Sokongan Yayasan Hasanah dan rakan strategik lain menjadikan Festival Mahsuri acara ikonik yang mempromosikan pertukaran budaya di peringkat global.