Polis cari wanita hilang, kali terakhir keluar ke tempat kerja
POLIS kini giat menyiasat kes kehilangan seorang wanita, Junaida Abdul Rahim, 42, yang dilaporkan tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi sejak Jumaat lalu selepas keluar bekerja.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima tiga laporan berhubung kes tersebut. Laporan pertama dibuat oleh kakak mangsa pada awal pagi 18 November, diikuti laporan daripada rakan serumah dan rakan sekerja mangsa.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa keluar dari rumah sewanya di Seksyen 17 pada 15 November sekitar jam 11 pagi dengan menaiki kenderaan jenis Mitsubishi Triton. Bagaimanapun, kenderaan itu ditemui di Jalan Ampang, tetapi mangsa tidak berada di tempat kerjanya dan sehingga kini masih belum pulang serta gagal dihubungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Iqbal, setakat ini, tiada tanda-tanda perselisihan faham antara mangsa dengan rakan serumah. Mangsa juga disahkan sebagai pemilik sebuah agensi takaful di Subang Jaya dan belum berkahwin.
“Junaida mempunyai ketinggian 160 sentimeter, berat 54 kilogram, berkulit kuning langsat, dan bertudung. Kes ini diklasifikasikan sebagai Orang Hilang (OH),” tambah beliau.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan Junaida diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Shahrul Bakhri, di talian 012-3630512 bagi membantu siasatan.