Chagee mohon maaf staf sorok hadiah Tear & Win
JENAMA teh terkenal, Chagee, tampil memohon maaf selepas tular video TikTok yang menunjukkan tindakan tidak wajar stafnya ketika acara Tear & Win.
Dalam video tersebut, staf didakwa sengaja menyimpan cawan yang berisi hadiah untuk diberikan kepada influencer, bukannya kepada pelanggan secara rawak seperti yang sepatutnya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Changee insiden tersebut tidak mencerminkan standard dan nilai teras syarikat.
“Kami dengan rendah hati memohon maaf atas sebarang kebimbangan dan kesulitan berhubung video TikTok baru-baru ini berkaitan dengan acara Tear & Win.
“Tingkah laku tersebut tidak mencerminkan standard yang dipegang oleh pihak CHAGEE, dan kami amat menyesal atas segala persepsi negatif yang telah timbul.
Chagee memberi jaminan bahawa siasatan terperinci sedang dijalankan dan tindakan sewajarnya akan diambil.
Mereka juga sedang bekerjasama dengan cawangan yang terlibat untuk memperbaiki prosedur operasi sedia ada.
“CHAGEE sedang menjalankan siasatan secara terperinci dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya selaras dengan nilai teras kami. Kami juga sedang mengkaji semula prosedur operasi untuk memastikan standard tertinggi dipatuhi”. Katanya dalam satu kenyataan.
Sebagai sebahagian daripada usaha penambahbaikan, Chagee akan memperkenalkan sistem baharu bermula Disember ini.
Hadiah fizikal dalam cawan akan digantikan dengan slip kod QR bagi memastikan proses yang lebih telus dan adil.
“Bermula pada bulan Disember, CHAGEE Malaysia akan menggantikan item fizikal dalam cawan Big Big Cup dengan slip kod QR. Dengan mengimbas kod QR, pelanggan kami hanya akan dapat melihat hasil cabutan bertuah selepas proses imbasan.”
Chagee menegaskan bahawa mereka komited untuk menambah baik pengalaman pelanggan dan memastikan kepercayaan pengguna terus terjaga.
“Kepercayaan anda amat penting bagi kami. CHAGEE Malaysia komited untuk terus menambah baik perkhidmatan kami agar memberikan pengalaman terbaik untuk semua pelanggan,” kata mereka.
Dengan langkah proaktif ini, Chagee berharap dapat memperbaiki persepsi dan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan setia mereka.