Pemandu grab caj tambahan untuk hawa dingin
TULAR di media sosial mengenai seorang pemandu Grab yang mengenakan caj tambahan kepada penumpang yang ingin menggunakan penghawa dingin.
Menurut perkongsian Malaysia Viral, pelanggan diminta membayar RM20 untuk kelajuan penghawa dingin tahap satu, RM25 untuk tahap dua, dan RM30 untuk tahap tiga. Lebih mengejutkan, penghawa dingin hanya dihidupkan untuk bahagian hadapan kenderaan, iaitu untuk kegunaan pemandu sahaja.
Tindakan tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya berasa terkejut dan tidak bersetuju dengan caj tambahan tersebut.
Ramai yang menganggap ia tidak berpatutan dan mencadangkan agar laporan dibuat kepada pihak Grab supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
Dalam perkembangan lain, seorang pemandu Grab turut menjadi perhatian apabila tular satu maklum balas pelanggan yang cukup unik di aplikasi Grab.
Seorang bapa menyatakan hasrat untuk menjodohkan pemandu tersebut dengan anak perempuannya.
“Salam sejahtera anakku, ingat tak pak cik yang awak hantar ke Hospital IIUM pagi tadi? Pak cik ada seorang anak perempuan belum kahwin lagi, umur 28 tahun, dia jadi doktor kat Hospital IUM ni. Anak jadi menantu pak cik nak tak?”
Perkongsian tersebut yang dimuat naik di Reddit menarik perhatian ramai, dan netizen menganggap situasi itu sebagai “rezeki terpijak”.
Antara komen netizen termasuk:
•“Itu namanya rezeki. Berkenalan dulu. Tak salah pun.”
•“Pandai hang tawan hati ayahnya.”
•“Ciri bagus yang boleh ditambah dalam aplikasi Grab,” seloroh seorang lagi.
Fenomena ini jelas menggambarkan pelbagai kisah unik yang boleh tercipta dalam perkhidmatan e-hailing, dari insiden yang mencetuskan perdebatan hingga peluang baharu yang tidak disangka-sangka.