Uncategorized
Malaysia tiada keperluan keluarkan peta baharu – Mohamed Khaled
Malaysia tidak mempunyai keperluan untuk mengeluarkan peta baharu sempadan maritim dan akan terus mempertahankan kawasan perairan demi kedaulatan negara.
Memetik BERNAMA, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia sentiasa menggunakan pendekatan menerusi saluran diplomatik dalam menghadapi cabaran melibatkan tuntutan bertindih.
“Kesan daripada Filipina yang keluarkan petanya, saya percaya keperluan untuk (Malaysia) keluar peta baharu adalah bergantung kalau kita rasakan ada perubahan pada peta lama.
“Peta kita tetap peta kita yang tidak diubah, yang ubah mereka (Filipina). Kita tetap akan mempertahankan kawasan dan kedaulatan kita,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serahan Zakat Wakalah Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) di Masjid Al-Muhajirin, Masai, di Johor Bahru hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya keperluan Malaysia untuk menukar peta sempadan maritim susulan isu dua akta maritim baharu Filipina yang melanggar sempadan maritim Sabah.
Mohamed Khaled berkata pemantauan akan terus dilakukan secara bersepadu berasaskan keupayaan dan aset sedia ada melibatkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dengan menunjukkan kehadiran (show of presence) bagi mempertahankan hak kedaulatan kawasan maritim negara.
Beliau berkata protes bantahan mengikut undang-undang antarabangsa yang telah ditetapkan juga akan dibuat sekiranya terdapat kapal negara asing dikesan memasuki sempadan.
“Kita juga laksanakan Maritime Domain Awareness (MDA), maknanya kita tahu apa berlaku dalam kawasan di bawah kedaulatan kita apabila kapal lain masuk,” katanya.
Pada Khamis lepas, Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dilapor berkata Malaysia menghantar nota bantahan kepada Filipina berkaitan dua akta maritim baharu negara itu yang melanggar sempadan maritim Sabah.
Dilaporkan Akta Zon Maritim Filipina dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina yang ditandatangani Presiden Ferdinand Marcos Jr pada 8 Nov lepas disahkan telah melangkaui Peta Baharu Malaysia 1979 yang dibuat berdasarkan undang-undang antarabangsa.
Menurut laporan media antarabangsa, kedua-dua akta maritim baharu Filipina itu dilihat sebagai usaha untuk memperkukuh tuntutan Manila ke atas kawalan Laut China Selatan yang masih dipertikaikan hingga kini.
Sementara itu, mengenai notis pembatalan kontrak kepada syarikat pembekal bagi sewaan empat helikopter UH-60A Black Hawk untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM), Mohamed Khaled berkata kementeriannya akan mengkaji sama ada terdapat keperluan untuk membuat pembelian aset berkenaan.
Beliau berkata proses perolehan perlu dilakukan dengan teliti mengikut spesifikasi aset diperlukan TDM dan ia mengambil masa.
Mohamed Khaled sebelum ini dilapor berkata tindakan penyerahan notis dilakukan selepas syarikat terlibat gagal memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan walaupun sudah dilanjutkan hingga akhir Oktober lepas.