Auto Travel

Projek Pemapanan Denai Warisan tarikan baharu di Perlis

Projek Pemapanan Denai Warisan Wang Tangga, Wang Kelian-Kaki Bukit di Perlis mampu berperanan besar dalam memajukan ekopelancongan di negeri ini. Selain menonjolkan keindahan alam dan keunikan warisan semula jadi, ia turut memberi peluang ekonomi baharu kepada komuniti tempatan.

Inisiatif seperti ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor pelancongan, perniagaan kecil, serta meningkatkan pasaran produk tempatan. Para pelancong yang datang bukan sahaja berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi, malah dapat mengenali budaya setempat, menikmati hasil tangan penduduk, dan secara langsung menyumbang kepada ekonomi komuniti kita.

Semoga projek ini juga akan terus membuahkan hasil yang membanggakan untuk Perlis, menjadikan negeri ini sebagai satu lagi destinasi baru utama dalam ekopelancongan yang menawarkan keunikan serta keindahan yang tersendiri.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Pemapanan Denai Warisan tersebut.

Keberangkatan tiba Baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Ketua Projek Pembangunan Denai Warisan itu iaitu Peter Ong dan Pengerusi Perlis Nature Explorer (PNX), Syamil Abd Rahman.

Projek ini telah berjaya disiapkan hasil usahasama Perlis Nature Explorer (PNX) dan Monyet Ventures melalui geran daripada The Habitat Foundation yang dibiayai oleh Kementerian Kewangan bagi menjadikannya satu produk baru untuk pelancongan mampan dan pembelajaran.

Beberapa pihak lain turut terlibat sama bagi membantu melaksanakan projek ini termasuklah Roots and Shoots Malaysia, Manulife Holdings Bhd, Sustainable Tourism Network Malaysia, Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Rejimen 504 Askar Wataniah, komuniti Kaki Bukit, komuniti Wang Kelian, serta beberapa agensi dan organisasi lain.

Di majlis tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra selain meninjau kawasan sekitar turut berkenan untuk menyempurnakan simbolik perasmian dan juga menanam sebatang pokok Giam Malut sempena Kempen Penghijauan Malaysia 100 Juta Pokok.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button