Harga makan Mamak bakal naik KPDN panggil persatuan India Muslim jawab esok!
PERSATUAN Usahawan India Muslim Negeri Johor (PERDIM) bakal berdepan siasatan esok oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) susulan cadangan untuk menaikkan harga makanan sekurang-kurangnya lima peratus bermula tahun hadapan.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, menyatakan kementerian telah mengeluarkan notis panggilan kepada PERDIM untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai keputusan menaikkan harga itu, seiring dengan Seksyen 21.2 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Pihak kami bertindak pantas kerana tidak mahu mana-mana pihak mengambil kesempatan atas situasi ekonomi sekarang,” kata Armizan dalam sidang media selepas Majlis Tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) Perkongsian Data Harga antara KPDN dengan Mydin dan Redtick di ibu negara hari ini.
Cadangan kenaikan ini susulan beban kos operasi yang dikatakan semakin meningkat, serta pelaksanaan gaji minimum yang dijangka memberi tekanan tambahan kepada pengusaha restoran mamak. Kenaikan tersebut, yang dilaporkan bakal mencapai lima peratus, menimbulkan keresahan di kalangan pengguna yang bimbang tentang peningkatan kos sara hidup.
Armizan turut mengingatkan bahawa KPDN telah beberapa kali mengambil tindakan tegas di bawah Ops Kesan 2.0 terhadap pihak yang cuba memanipulasi kenaikan harga tanpa justifikasi munasabah. Beliau mengimbau kes-kes terdahulu di mana pihak tertentu didapati menyalahgunakan alasan seperti penyasaran subsidi diesel dan kenaikan cukai SST untuk menaikkan harga tanpa asas yang sah.
“Sebagai contoh, sektor pembinaan pernah mendakwa kenaikan harga disebabkan penyasaran subsidi diesel, tetapi setelah disiasat, ternyata mereka tidak layak untuk menggunakan diesel bersubsidi,” jelas Armizan.
KPDN menegaskan, kenaikan harga harus berlandaskan kepada faktor kos sebenar yang relevan dan bukannya berdasarkan spekulasi atau kesempatan ekonomi. Kementerian akan terus memantau situasi ini dengan lebih ketat untuk melindungi kepentingan rakyat yang semakin terbeban dengan kos sara hidup yang melonjak.