Nasional

UNIMAS destinasi universiti terakhir 2024 bagi program Jangkauan OTM: Sounds of Malaysia

Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) merupakan destinasi terakhir bagi kerjasama rakan strategik universiti bersama Istana Budaya untuk tahun 2024 menerusi Program Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM): Sounds of Malaysia yang dibawakan sebagai Konsert Orkestra Tradisional Malaysia Istana Budaya-UNIMAS sempena Majlis Konvokesyen UNIMAS 2024.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Zubaidah Mukhtar berkata, kejayaan Program Jangkauan OTM: Sounds of Malaysia ini telah berjaya mendapat sambutan dan sokongan yang luar biasa oleh masyarakat tempatan dan pelancong.

Katanya, permintaan kolaborasi bersama agensi badan Kerajaan dan swasta juga amat menggalakkan sepanjang dua (2) tahun penganjuran program ini sejak siri jelajah kempen Gerak diperkenalkan.

“IB sentiasa terbuka memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan dan luar negara bekerjasama sebagai rakan strategik dalam menganjurkan seni persembahan dan IB juga bersedia untuk melebarkan sayap persembahan berskala cemerlang ini di persada antarabangsa kelak khususnya usaha mengharumkan Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)” ujarnya dalam kenyataan.

Katanya, program itu masih mengekalkan konsep asal iaitu bermatlamat untuk memberikan pendedahan mengenai kepentingan mempelajari warisan budaya khususnya melalui alat muzik tradisional Malaysia kepada warga kampus di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) agar terus dihargai oleh generasi muda.

Melalui pendekatan mentor mentee, para pelajar berpeluang untuk menyertai bengkel seni muzik tradisional yang diterajui oleh tenaga pakar OTM serta turut terlibat dalam bidang pengurusan produksi Istana Budaya yang berskala besar.

Seramai 26 pemuzik termasuk dua (2) pemuzik dari UNIMAS terlibat di bawah arahan Pengarah Muzik, Encik Mohd Yazid Zakaria yang juga bertindak sebagai Konduktor dalam acara ini. Sebanyak 22 jenis alat muzik dimainkan dan antara alat-alat muzik tradisional Malaysia yang dimainkan adalah seperti Sape, Sitar, Seruling,
Caklempong, Jido, Keromong, Darbuka, Gambus, Guzheng dan Yangqin.

Konsert OTM bersempena Majlis Konvokesyen UNIMAS ke-28 ini menghimpunkan penyanyi-penyanyi ternama seperti Dato’ Jamal Abdillah, Wany Hasrita, Roxy, Rojer Kajol, Dhiya Suhaili dan Alexander Peter Chelum.

Sebanyak 25 lagu dipersembahkan dan antara lagu-lagunya adalah Anang Mangah, Berkikis Bulu Betis, Diamond, Menahan Rindu, Belenggu Rindu, Gadis Melayu dan Ghazal Untuk Rabiah.

Tiket konsert persembahan berskala cemerlang di UNIMAS ini dijual dengan harga RAHMAH serendah RM15, RM30 dan RM50 dan telah berlangsung di Arena Gemilang, DeTAR Putra UNIMAS pada 12 November 2024 (Selasa) pukul 8 malam.

Kesemua hasil kutipan tiket akan didermakan sepenuhnya ke Tabung Endowmen (Pembangunan) dan wakaf  UNIMAS. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button