REHAB bekerjasama anjur program Satu Pemimpin, Satu Kampung
Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) dengan kerjasama Hospital ReGen Rehab telah berjaya menganjurkan program Satu Pemimpin, Satu Kampung (Santuni MADANI) di Pusat Aktiviti Warga Emas, Sabak Bernam, Selangor.
Program iu bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan warga emas dalam memupuk semangat komuniti melalui pelbagai aktiviti yang memberi impak serta legasi terhadap warga emas serta komuniti setempat.
Ia dimulakan dengan pemeriksaan kesihatan yang menyasarkan sekitar 40 warga emas berusia 60 tahun ke atas. Aktiviti ini melibatkan saringan kesihatan dan rawatan perubatan untuk mengenal pasti masalah kesihatan seperti dementia dan lemah fizikal.
Melalui inisiatif berkenaan, warga emas diberi peluang untuk mendapatkan rawatan dan mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk kelestarian kesihatan mereka.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Phing berkata, pogram itu merupakan usaha penting dalam menyokong kesejahteraan warga emas, sejajar dengan inisiatif Santuni MADANI.
“MyCEB telah memastikan bahawa objektif bagi kelangsungan program ini tercapai dengan memberi peluang kepada warga emas untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan yang diperlukan, serta membantu meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya.
Selain daripada pemeriksaan kesihatan, sesi penglibatan komuniti diadakan di mana pemimpin dan warga tempatan berpeluang untuk berbincang tentang keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat.
Ini adalah langkah penting untuk memperkukuhkan kerjasama antara pemimpin dan penduduk, membolehkan mereka bersama-sama mencari penyelesaian kepada isu-isu yang timbul dalam komuniti mereka.
Pakar Perubatan Rehablitasi dan Ketua Pegawai Perubatan di Hospital ReGen Rehab, Profesor Datin Dr. Lydia Abdul Latif pula berkata, program itu bukan sahaja menyediakan saringan kesihatan kepada warga emas, tetapi juga menyedarkan mereka tentang kepentingan menjaga kesihatan.
“Dalam kalangan warga emas, risiko masalah kesihatan seperti dementia dan lemah fizikal adalah tinggi, dan
pemeriksaan awal adalah kunci untuk menguruskan isu ini dengan berkesan.
“Selain itu, perbincangan yang diadakan hari ini memberi peluang kepada masyarakat dan pemimpin untuk mengenal pasti langkah-langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan taraf kesihatan mereka,” katanya.
Program Santuni MADANI ini juga menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs), khususnya SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan, SDG 10: Pengurangan Ketidaksamaan, dan SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat. Usaha ini menunjukkan komitmen kedua-dua organisasi untuk memastikan masyarakat yang lebih inklusif dan berdaya tahan dapat dibina. – SM