Kelantan catat remaja terbanyak terlibat seks sebelum kahwin
KELATAN mencatatkan bilangan remaja paling tinggi terlibat dalam hubungan seksual sebelum berkahwin, dengan kelaziman 9.5%, diikuti Sarawak (9.1%) dan Pulau Pinang (8.9%), menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Negara 2022. Angka ini lebih tinggi berbanding purata nasional, iaitu 7.6%.
Menurut laporan Utusan Malaysia, Adun Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim, berkata faktor seperti akses mudah ke ruang maya dan pornografi menyumbang kepada gejala ini.
Tegasnya penting untuk persediaan dari segi kesedaran, kemahiran, dan pendidikan bagi remaja, ibu bapa, dan guru untuk menangani isu ini.
“Selain naluri ingin tahu tinggi, ruang maya terbuka luas turut menjadi faktor pendorong remaja terlibat dalam gejala seksual apabila didedahkan dengan pornografi serta lain-lain perkara yang dianggap sebagai dadah alaf baharu.
“Kita tahu apabila remaja memiliki telefon pintar, dadah alaf baharu ini akan datang kepada mereka tanpa perlu dicari dan sebetulnya, tiada jalan singkat yang boleh kita ambil dalam menangani permasalahan ini,” katanya.
turut menekankan keperluan kesedaran kesihatan reproduktif bagi remaja seawal usia 12 tahun.
Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Kelantan turut menekankan keperluan kesedaran kesihatan reproduktif bagi remaja seawal usia 12 tahun susulan itu remaja perlu dipersiapkan dengan kesedaran, kemahiran serta pengetahuan untuk mencegah, menghadapi dan menangani masalah ini.
Katanya, pada masa sama golongan ibu bapa termasuk guru, perlu diperkasakan dengan perkara sama agar dapat membantu dan merawat remaja-remaja terlibat dengan kasih sayang serta pendekatan rahmah.
“Jelas sekali kita perlu buat sesuatu untuk menanganinya kerana masalah seksualiti ini turut terkait dengan risiko tinggi untuk dijangkiti virus kurang imun manusia (HIV).
“Sebab itu aspek kesihatan reproduksi dan seksualiti remaja menjadi fokus Karnival Kesihatan dan Eksplorasi Remaja Gemilang. Sebagai ikhtiar mengangani gejala penglibatan remaja dalam aktiviti seksual sebelum berkahwin,” ujarnya.
Dalam tempoh lima tahun, Kementerian Kesihatan mencatat 44,263 kes kehamilan remaja di Malaysia, di mana 17,646 daripadanya melibatkan remaja yang tidak berkahwin.