Raja Muda Perlis hadir SKAW Siri 36
KUALA LUMPUR 8 Nov. – Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulliail selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah (AW) dan Raja Muda Kedah Brigedier Jeneral Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin merangkap Komander Rejimen 513 AW berkenan berangkat menghadiri Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri-36 bagi tahun 2024 yang diadakan di Pullman Kuala Lumpur City Centre – Hotel and Residences.
Keberangkatan Baginda disambut oleh Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD) Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Asisten Panglima Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab.
Turut berangkat sama adalah Komander Rejimen 508 AW Brigedier Jeneral Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, Komander Rejimen 509 AW Brigedier Jeneral Datuk Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, dan Komander Rejimen 512 AW Brigedier Jeneral Datuk Seri Tengku Sri Temenggong Raja Tengku Baharuddin Ibni Al Marhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah.
SKAW pada edisi kali ini yang dipengerusikan oleh Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi membincangkan dan memberi maklum balas berkenaan perkara latihan, pentadbiran dan logistik serta membincangkan berkenaan pemerkasaan Askar Wataniah menuju Angkatan Masa Hadapan.
Perbincangan ini melibatkan 18 ahli yang terdiri dari kalangan Komander Rejimen Siri 500 AW dan Pasukan Pakar AW serta 17 orang wakil dari staf formasi dan Markas Tentera Darat.
Antara acara yang turut berlangsung sempena SKAW ke 36 ini adalah Acara Menembak Pistol di Lapang Sasar Kem Perdana Sungai Besi pada 5 November 2024.