Ekonomi

Kuskop sasar pelaburan RM100 juta melalui Pameran Antarabangsa BIBAN24 di Riyadh

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menyasarkan potensi pelaburan bernilai RM100 juta melalui penyertaan Malaysia dalam Pameran Antarabangsa BIBAN24 di Riyadh, Arab Saudi yang berlangsung pada 5 hingga 9 November 2024.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, yang mengetuai delegasi ke Pameran Antarabangsa BIBAN24 berkata, ini adalah cerminan komitmen Kuskop untuk memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Arab Saudi, terutamanya dalam sektor francais dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Beliau telah mengadakan siri perbincangan berprofil tinggi, termasuk mesyuarat dengan Kudu Company for Food & Catering, salah satu jenama francais makanan terbesar di Arab Saudi.

Perbincangan ini telah membuka peluang kerjasama perniagaan yang lebih luas dalam sektor makanan dan perkhidmatan, sekaligus membantu jenama-jenama Malaysia menembusi pasaran Arab Saudi.

Selain itu, mesyuarat dua hala turut diadakan dengan Dr. Majid Abdullah Alkassabi, Menteri Perdagangan Arab Saudi untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara. Antara yang dibincangkan ialah usaha mempertingatkan langkah-langkah konkrit seterusnya menjana sinergi dalam bidang keusahawanan dan pembangunan industri.

Terdahulu, pada 5 November,  Ewon telah merasmikan Pavilion Usahawan Malaysia yang merupakan platform penting mempamerkan keupayaan dan inovasi usahawan Malaysia kepada pasaran global.

Dalam majlis yang sama, kedua-dua pihak telah menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Corp. Malaysia dengan Monsha’at dan PERNAS dengan Monsha’at. MoU ini
merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan kerjasama dalam bidang pembangunan PKS dan francais kedua-dua negara. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button