Tiada lagi kenderaan ”Gas Asli” di atas jalan raya mulai 1 Julai 2025
MULAI 1 Julai 2025, semua kenderaan yang menggunakan gas asli mampat (NGV) tidak lagi dibenarkan beroperasi di Malaysia, susulan keputusan Jemaah Menteri yang dibuat pada 2 Oktober lalu. Keputusan ini diambil atas faktor keselamatan setelah mendapati bahawa kebanyakan kenderaan NGV di Malaysia kini berada pada fasa akhir hayat tangki bahan api mereka.
Menurut Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, kenderaan NGV di Malaysia terdiri daripada dua kategori utama: kenderaan petrol yang diubah suai untuk menggunakan NGV (dual-fuel) dan kenderaan import yang hanya menggunakan NGV (mono-fuel). Beliau menjelaskan bahawa, berdasarkan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), terdapat sekitar 44,383 kenderaan NGV aktif di Malaysia, atau 0.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan berdaftar di negara ini.
Selain itu, Petronas akan menghentikan bekalan runcit NGV di seluruh negara bermula 1 Oktober 2024, dengan penutupan penuh dijangka selesai menjelang suku kedua 2025. Langkah ini bertujuan memastikan tiada lagi kenderaan NGV yang menggunakan bahan api tersebut selepas tarikh larangan berkuat kuasa.
Bagi mereka yang terkesan, Petronas NGV Sdn. Bhd. (PNGV) akan menyediakan Program Bantuan Peralihan Kenderaan NGV, yang merangkumi tiga pakej utama. Pertama, bantuan kepada pemandu teksi NGV dalam bentuk baucar RM3,000 yang akan diberikan sekali sahaja kepada pemandu teksi berdaftar yang layak melalui aplikasi Setel. Kedua, pakej Penanggalan Kit NGV ditawarkan secara percuma di bengkel berdaftar bagi pemilik kenderaan dual-fuel yang layak. Ketiga, bantuan untuk pemilik kenderaan mono-fuel yang layak, di mana mereka akan menerima pembayaran berdasarkan nilai semasa kenderaan tersebut, dengan syarat kenderaan dihantar untuk dilupuskan di pusat rawatan automotif berlesen.