Nasional

Lelaki warga kedah jadi tentera upahan perang di Ukraine masih hidup

BARU-baru ini, tular di media sosial penemuan dua keping gambar yang menunjukkan MyKad dan lesen memandu seorang rakyat Malaysia yang didakwa ditemui di medan perang di Livadny, Zaporizhia, Ukraine. Dokumen tersebut dilaporkan ditemukan selepas tentera Rusia berjaya menawan kubu tentera Ukraine di kawasan berkenaan.

Polis telah mengesahkan bahawa individu itu berkhidmat sebagai tentera upahan asing di Ukraine. Lelaki berusia 20 tahun yang berasal dari Kedah itu mengalami kecederaan selepas terkena serpihan dron tentera Rusia pada pertengahan Oktober lalu.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, pihak polis telah menerima maklumat bahawa lelaki tersebut masih hidup dan berada dalam keadaan selamat di Ukraine.

“Risikan mendapati lelaki itu telah membuat permohonan secara dalam talian untuk menyertai tentera Ukraine dan berperang menentang tentera Rusia. Siasatan juga menunjukkan dia telah berada di Ukraine sejak April lalu dan menjalani latihan ketenteraan di sana,” katanya.

Tan Sri Razarudin turut menjelaskan bahawa minat dalam bidang ketenteraan dan tawaran gaji antara AS$400 (kira-kira RM1,700) hingga AS$2,700 (kira-kira RM12,000) sebulan, bergantung kepada tahap bahaya di medan perang, adalah antara faktor yang mendorongnya untuk menyertai perang di Ukraine. Selain tawaran gaji, tekanan daripada keluarga juga dipercayai menjadi salah satu pendorong baginya mencari peluang pekerjaan di luar negara.

Tan Sri Razarudin menambah bahawa semasa serangan dron Rusia yang berlaku pada pertengahan Oktober lalu, lelaki itu dilaporkan cuba melarikan diri untuk menyelamatkan diri. Namun, kad pengenalan dan lesen memandunya telah tercicir dalam kekecohan tersebut, sementara pasportnya masih berada bersamanya.

Menurut Razarudin lagi, individu tersebut juga dikesan tidak mempunyai sebarang akaun media sosial seperti Facebook atau Instagram, kerana dia tidak berminat dengan aktiviti sosial. Sebaliknya, dia lebih cenderung kepada aktiviti permainan dalam talian bertemakan peperangan dan sangat berminat untuk menjadi seorang tentera.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button