Pendidikan

SK Simpang Empat berjaya wujudkan suasana pembelajaran kondusif

3 November 2024.
Simpang Empat.

Hasrat untuk mencipta keseronokan pelajar agar hadir ke Sekolah yang dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Simpang Empat Perlis semakin menjadi kenyataan apabila pelbagai perubahan fizikal, pemantapan pengurusan dan pengukuhan pengajaran dalam usaha mempertingkatkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan menyeronokkan dapat direalisasikan dengan jayanya.

Menurut Guru Besarnya, Cikgu Syagul Yuhanis Mohd Yusof, usaha menyeluruh yang menekankan aspek kecemerlangan pelajar, pembentukan akhlak dan sahsiah, pencapaian akademik, serta peningkatan prasarana di sekolah diberikan penekanan dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, mendidik akhlak mulia, menyokong perkembangan sahsiah pelajar, dan memastikan pencapaian akademik yang cemerlang dalam persekitaran yang lengkap dengan kemudahan yang sesuai.

Lebih istimewa lagi, usaha warga Sekolah Kebangsaan Simpang Empat yang juga merupakan salah sebuah sekolah yang mengikuti Program Sekolah Amanah Jamalullail tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mendapat perhatian Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang telah berkenan berangkat menyaksikan hasil naiktaraf di Asrama Sekolah berkenaan.

Naiktaraf tersebut walaupun pada ketika ini belum siap sepenuhnya, namun merangkumi keindahan serta penambahbaikan prasarana asrama bagi memberi keselesaan kepada pelajar yang menginap di sekolah tersebut.

Keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin Putra disambut Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Haji Che Rasaidi Che Yob dan Warga Asrama Sekolah itu.

Turut mengiringi Baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Perlis, Amran Mahadi.

Hadir sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Zairul Faizal Zainal Pakhri dan Ketua Pegawai Operasi Mohd Ariff Idris dari Gadong Sari Enterprise Sdn Bhd.

Dalam titah sempena lawatan itu , Tuanku Raja Muda Perlis menyatakan pentingnya usaha menjadikan sekolah sebagai tempat yang menyeronokkan bukan sahaja untuk pelajar tetapi juga bagi guru-guru. Baginda menekankan bahawa keseronokan guru dalam mengajar harus turut diutamakan, kerana ia akan turut menyumbang kepada kesejahteraan pelajar serta keberkesanan proses pembelajaran.

“Dengan persekitaran yang lebih baik dan selesa, diharapkan inisiatif ini dapat menggalakkan lebih ramai pelajar dan tenaga pengajar untuk hadir dengan penuh semangat dan motivasi ke sekolah”, jelas Baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyampaikan sumbangan Tabung Baraatuz Zimmah (t-BAZ) MAIPs berjumlah RM2,000 bagi tujuan menaiktaraf lagi keperluan fizikal di sekolah berkenaan.

Terdahulu Tuanku Raja Muda merangkap Yang DiPertua MAIPs berkenan menyantuni golongan asnaf terdiri daripada Dali Hassan, Nab Chin dan Mohamad Shahrol Nizam Bulyamin melalui Program Kayuhan MAIPs Peduli yang dilaksanakan bermula dan berakhir di Masjid Al-Ittifaqiah, Mengkuang Layar.

Untuk rekod, sebanyak 5 buah sekolah di Negeri Perlis telah terpilih untuk menerima tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi pelaksanaan Program Sekolah Amanah Jamalullail yang bermatlamatkan untuk membawa budaya perubahan holistik kepada persekitaran pendidikan di sekolah dengan memberikan fokus kepada pembentukan pelajar holistik yang mencapai sasaran Kemahiran DwiBahasa, Etika dan Kerohanian, Kemahiran Memimpin, Pengetahuan, Kemahiran Berfikir, dan Identiti Nasional.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button