Integriti adalah kunci kepercayaan majikan kepada pekerja – Raja Muda Perlis
2 November 2024.
Kangar.
Integriti adalah kunci kepada kepercayaan yang diberikan oleh majikan dan rakan sekerja. Tanpa integriti, segala kelulusan dan kemahiran yang dimiliki mungkin tidak dapat memberikan manfaat yang sebenar kepada organisasi dan masyarakat.
Pada masa yang sama, ‘Pembentukan nilai murni yang kukuh melalui sahsiah diri yang tinggi akan membawa manfaat bukan hanya kepada diri sendiri, tetapi juga kepada masyarakat, negeri dan juga negara’.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli yang dihadiri sama oleh Pengarah-Pengarah dan Pegawai Kanan Jabatan Perhutanan Negeri Semenanjung Malaysia di sekitar Kampung Behor, Kangar baru-baru ini.
Kayuhan amal yang dianjurkan oleh pihak MAIPs itu turut disertai oleh Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Haji Zahari Ibrahim, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Awang Shaffie Awang Ahmadni, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada golongan asnaf yang terpilih pada kali ini terdiri daripada Zakarian Salim, 67 tahun dari Kampung Behor Gandil, Bahari Shah Lun, 72 tahun dari Kampung Guar Syed Alwi dan Mohd Khalis Mat Shah, 42 tahun dari Behor Pulai.
Setiap daripada mereka menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli dan juga beras fidyah bagi menampung keperluan harian keluarga masing-masing.