Teater

Pahlawan Melayu yang mengelilingi dunia

KITA sering mendengar kisah pahlawan Melayu seperti Hang Tuah, Mat Kilau, dan lain-lain. Namun, ada satu figura pahlawan Melayu yang jarang diberi perhatian, iaitu Panglima Awang, yang tidak kurang hebatnya kisah perjuangannya di Tanah Melayu.

Panglima Awang adalah orang Melayu pertama yang mengelilingi dunia di lautan serta mempunyai ilmu yang luas dari segi pelayaran. Malahan, figura ini juga fasih dalam pelbagai bahasa, antaranya bahasa Portugis, dan mengangkat betapa luasnya ilmu maritim orang Melayu.

Aktivis teater, Hazley Abu Bakar, yang berpengalaman selama 20 tahun di pentas teater, tergerak hati untuk mengangkat naskah Pelayaran Panglima Awang dengan sokongan geran daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Misi beliau adalah untuk memartabatkan kisah klasik Melayu yang jarang dipentaskan pada masa kini.

Menurut Hazley, naskah-naskah klasik perlu sentiasa dipentaskan agar setiap generasi dapat mengenali sejarah hebat orang Melayu.

“Karya-karya seperti ini perlu diberi perhatian bukan sahaja di pentas teater, malah juga di layar televisyen, filem, bentuk puisi, atau pelbagai bentuk platform seni. Ini penting untuk menyedarkan masyarakat tentang jati diri mereka dari masa ke semasa mengenai perjuangan nenek moyang mereka pada masa lalu agar semangat itu sentiasa mekar di jiwa dan tidak dilupakan, terutama pada generasi baru,” ujarnya.

Beliau menekankan bahawa bukan sahaja naskah Panglima Awang yang perlu diangkat, tetapi juga karya klasik lain yang turut harus diberikan perhatian.

“Walaupun orang jarang melihatnya, pementasan seperti ini perlu selalu diangkat agar masyarakat dan generasi sekarang dan akan datang sedar tentang kisah-kisah sejarah bangsa, sekaligus membentuk minda mereka tentang kehebatan orang Melayu. Ini seterusnya memberi penghayatan supaya dapat mengambil iktibar betapa terhinanya maruah diri jika hidup di jajah oleh orang lain,” tambahnya.

Teater Pelayaran Panglima Awang akan dipentaskan pada 2 dan 3 November ini di Dewan Bahasa dan Pustaka. Pertunjukan pada 2 November akan bermula pada 8.30 malam, manakala 3 November pula pada 2.30 petang.

Teater Pelayaran Panglima Awang adalah sebuah naskah yang diadaptasi dari sebuah novel Panglima Awang karya Harun Aminurrashid, mengisahkan tentang seorang pemuda Melaka iaitu Panglima Awang atau Enrique de Malacca ketika era kejatuhan negeri Melaka di awal zaman penjajahan Portugis. Beliau menjadi orang pertama yang berjaya mengelilingi dunia melalui ekspedisi pelayaran bersama Fernando Magellan setelah menjadi tawanan tentera Portugis.

Saksikanlah kisah Awang, seorang pahlawan Melayu yang jarang diperkatakan dalam sejarah tempatan, terutama ketika kejatuhan Melaka pada tahun 1511 akibat penjajahan Portugis.

Penuh dengan semangat pemberontakan dan perjuangan gerila, Panglima Awang bersama rakan-rakannya bangkit menentang penjajah, walaupun akhirnya beliau ditawan.

Di bawah arahan Hazley Abu Bakar, penerbit Razali Hussain, dan penulis Anwar Pisang, teater ini mengisahkan perjalanan epik Awang hingga ke Portugal serta pengembaraannya mengelilingi dunia.

Barisan pelakon hebat yang menjayakan teater ini termasuk Md Husin, Ain Sufia, Dean Sitara, Ika Angah Lj, Ruby Wahid, Suky San, Diani Kasian, Yazid Asril, Shahril Kamil, dan ramai lagi, termasuk pesilat dari Pertubuhan Seni Silat Cimandi Pecahan Tujuh Malaysia, Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia, Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia dan mahasiswa dari Universiti Pertahanan Malaysia.

Teater Pelayaran Panglima Awang adalah sebuah naskah yang diadaptasi dari sebuah novel Panglima Awang karya Harun Aminurrashid, mengisahkan tentang seorang pemuda Melaka iaitu Panglima Awang atau Enrique de Malacca ketika era kejatuhan negeri Melaka di awal zaman penjajahan Portugis. Beliau menjadi orang pertama yang berjaya mengelilingi dunia melalui ekspedisi pelayaran bersama Fernando Magellan setelah beliau menjadi tawanan tentera Portugis.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button