Raja Muda Perlis berkenan terima mengadap Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu
ARAU 30 Okt. – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menerima kunjungan sembah mengadap hormat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis yang baharu, Datuk Rahimi Ismail di Galeri DiRaja Arau.
Turut hadir sama adalah Isteri beliau, Datin Musidah Mohid.
Datuk Rahimi adalah merupakan Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan di Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri sebelum menjalankan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis berkuatkuasa pada 11 Oktober 2024 baru-baru ini.
Beliau juga pernah bertugas sebagai Setiausaha Bahagian Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Kewangan, Jabatan Perdana Menteri dan Pengarah Bahagian Dasar, Bahagian Hal Ehwal Maritim, Jabatan Perdana Menteri.
Pengalaman Datuk Rahimi dalam menjalankan tugas dan memegang potfolio penting terutamanya di Jabatan Perdana Menteri dilihat mampu menambah baik dan memperkasakan lagi struktur pengurusan Kerajaan Negeri Perlis.
Terdahulu daripada majlis mengadap tersebut berlangsung upacara penyerahan surat pelantikan Datuk Rahimi sebagai Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang disampaikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang Dipertua MAIPs yang turut dihadiri sama oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.