Perlis kuasai 13 daripada 16 acara pada Terbuka Woodball
ARAU 30 Okt. – Pemain Woodball pasukan Negeri Perlis telah beraksi dengan cemerlang dan menjuarai 13 kategori daripada 16 keseluruhan kategori yang dipertandingkan bagi Kejohanan Woodball Terbuka Perlis dan Sirkit Kebangsaan Siri-4 Tahun 2024 yang berlangsung di Arau, Perlis.
Kejohanan yang diadakan di Laman Woodball Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra UiTM Perlis dan juga Kolej Matrikulasi Perlis (KMPs) ini telah dianjurkan oleh Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) dengan kerjasama Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) Malaysia pada 25 hingga 27 Oktober 2024 melibatkan penyertaan seramai 223 peserta daripada 19 buah pasukan.
Bagi kategori Terbuka, pemain-pemain ‘Perlis Woodpeckers’ telah menjuarai kategori Berpasukan Lelaki Terbuka melalui Khairuazree Sahabudin, Azhar Abdul Wahab, Zulkifli Said dan Hasfizal Samad, Perseorangan Lelaki Terbuka, Khairuazree Sahabudin, Beregu Campuran Terbuka, Arif Fadihal Ahmad Romizi dan Noryomhaslinda Senayan.
Pasukan wanita pula telah menjuarai kategori Berpasukan Wanita terbuka melalui Asmawana Aziz, Diyana Mohd Reffal, Qistina Mohd Reffal dan Nor Rinda Ramli, Perseorangan Wanita Terbuka, Qistina Mohd Reffal dan Beregu Wanita dimenangi oleh Asmawana Aziz dan Nor Rinda Ramli.
Pemain-pemain muda Woodball Perlis tidak ketinggalan mengungguli kategori Remaja dengan menjuarai Perseorangan Remaja Perempuan Bawah 15 Tahun oleh Nur Damia Alisha Rosmanizan, Perseorangan Lelaki Bawah 21, Amsyar Sirhan Saifullah Saharruddin, Perseorangan Perempuan Bawah 21, Nur Atrisha Shiffa Azizan, Beregu Remaja Lelaki, Amsyar Sirhan Saifullah Saharruddin dan Muhammad Azim Shaqil serta Beregu Campuran Remaja Amsyar Sirhan Saifullah Saharruddin dan Nur Atrisha Shiffa Azizan.
Sementara itu pasukan veteran juga turut beraksi cemerlang dengan menjuarai kategori Veteran Lelaki melalui Zulfikar Abdullah.
Tiga kategori yang dimenangi oleh pasukan lain ialah Perseorangan Remaja Lelaki Bawah 15 dimenangi oleh Al Muizzudin Khairul Nizat dari Terengganu, Beregu Lelaki Terbuka, Azmi Ahmad dan Ismail Abd. Rahmad dari Pahang serta Beregu Remaja Perempuan, Nurul Farah Syamimi Mohd Noor dan Siti Nurfazliana Azrol Isham.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Penaung Diraja PWNPs dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Menyambut keberangkatan Baginda berdua adalah Presiden Persatuan Woodball Malaysia (MWA), Elaine Tan dan Timbalan Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis, Mohd Nizar Mohd Shahab.
Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda menitahkan ucapan tahniah dan syabas di atas kejayaan pemain-pemain negeri Perlis yang mewakili Malaysia di Kejohanan Woodball Piala Dunia ke 9 yang telah berlangsung di Shangyu, Shaoxing, Zhejiang, China pada 14–19 Oktober 2024 baru-baru ini yang telah membawa pulang dua pingat emas dan tiga pingat perak.
Pencapaian yang membanggakan ini melalui Pingat Emas bagi kategori ‘Single Wanita Fairway Competition’ oleh Norinda Ramli dan Pingat Emas kategori ‘Single Remaja Lelaki Stroke Competition’ oleh Amsyar Sirhan Saifullah Saharruddin.