Persatuan Woodball Perlis teruja sukan berkenaan dipertanding pada Sukan SEA di Bangkok
29 Oktober 2024.
Arau.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Persatuan Woodball Negeri Perlis menyambut dengan penuh gembira berita mengenai keputusan tuan rumah Sukan SEA 2025, Thailand yang akan mempertandingkan sukan Woodball sebagai salah satu acara daripada 44 sukan yang bakal dipertandingkan oleh temasya sukan terbesar di Asia Tenggara yang dijadual berlangsung pada 9 hingga 20 Disember 2025.
Menurut laman facebook Persatuan Woodball Malaysia (MWA), antara kategori yang akan dipertandingkan ialah Stroke Competition Men Team, Stroke Competition Women Team, Stroke Competition Men Single, Stroke Competition Women Single, Fairway Competition Men Team dan Fairway Competition Women Team.
Menurut Tuanku Raja Muda, Negeri Perlis melalui Persatuan Woodball Negeri Perlis perlu terus bekerja keras dalam mencungkil dan melahirkan bakat-bakat baru dalam sukan Woodball yang akan menjadi pelapis atau pemain muda berprestasi tinggi kepada pemain-pemain sedia ada yang merupakan pemain utama dan tulang belakang sukan Woodball negara pada masa kini.
Baginda bertitah, kejayaan-kejayaan dan kualiti permainan pemain Woodball negeri ini di peringkat kebangsaan dan antarabangsa menanda bahawa persatuan negeri kini berada pada landasan yang tepat dan perancangan sedia ada perlu diteruskan dan ditambah baik bagi memastikan Perlis terus mempelopori sukan Woodball di semua peringkat.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Penaung DiRaja Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) berangkat ke majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Woodball Terbuka Perlis dan Sirkit Kebangsaan Siri-4 Tahun 2024 serta Liga Woodball Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra Dan Piala Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis 2024 di Dewan Sri Kayangan, Kolej Matrikulasi Perlis (KMPs), Arau.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Presiden Persatuan Woodball Malaysia (MWA) Elaine Tan dan Timbalan Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis, Mohd Nizar Mohd Shahab serta Ahli Jawatankuasa PWNPs.
Kejohanan ini telah dianjurkan oleh Persatuan Woodball Negeri Perlis dengan kerjasama Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) Malaysia, Kolej Matrikulasi Perlis dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis.
Penyertaan pemain pada kejohanan kali ini melibatkan seramai 250 orang pemain terdiri daripada 64 pasukan yang datang dari seluruh Malaysia termasuklah Selangor, Pulau Pinang, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Kedah.