Agama

SSM sumbang van jenazah

26 Oktober 2024.
Simpang Empat.

SSM Sumbang Van Jenazah kepada Masjid Al-Ilmi Sungai Berembang Dalam usaha memperkukuhkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) nya, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menyerahkan sebuah van jenazah berharga RM129,156 kepada Masjid Al-Ilmi Sungai Berembang, Simpang Empat.

Majlis penyerahan berlangsung sempena Program Hijrah Minda MAIPs bagi kali ke-24 untuk tahun 2024 ini anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sambil disaksikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang turut berkenan berangkat hadir untuk memberikan sokongan terhadap inisiatif mulia ini.

Penyerahan van jenazah tersebut dilaksanakan oleh Pengurus SSM Negeri Perlis, Ahmad Nizam Samsoo yang menyerahkan kunci van baru tersebut kepada Imam Masjid Al-Ilmi, Tuan Haji Afandi Saad baru-baru ini.

Turut mengiringi Baginda ialah Timbalan Yang DiPertua MAIPs, Dr. Haji Hazman Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa Dan Sastera, Haji Mohd Salahuddin Datuk Paduka Mohamed.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah agar van jenazah berkenaan dapat dimanfaatkan dalam memudahkan pengurusan jenazah bagi komuniti setempat, khususnya penduduk sekitar Sungai Berembang yang sering menghadapi kekangan dalam mendapatkan perkhidmatan tersebut.

“Pihak Korporat yang budiman adalah diseru untuk sentiasa peka terhadap keperluan mendesak masyarakat dan berusaha bekerjasama dengan pihak MAIPs demi memberikan manfaat kepada seluruh rakyat,” titah Baginda.

Tuanku Raja Muda terdahulu daripada itu turut berkenaan menyampaikan sumbangan MAIPs berjumlah RM14,000 kepada 20 orang asnaf terpilih di Kariah Sungai Berembang.

Penyerahan van ini menjadi bukti keprihatinan SSM dan pihak istana dalam memastikan kebajikan komuniti terus dijaga dengan baik.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button