Insan baharu di hati Ina Naim bakal nikah duda pada 8 November ini
BALU kepada Allahyarham Suhaimi Saad, iaitu Ina Naim bakal melangsungkan pernikahan dengan seorang duda berusia 41 tahun yang mempunyai dua anak pada 8 November ini.
Dalam kenyataannya, Ina, 40 tahun, menjelaskan bahawa dia memilih untuk merahsiakan berita pernikahan dan majlis tersebut sebagai tanda hormat terhadap perasaan kedua ibu bapanya. Dia juga menambah bahawa majlis tersebut akan dilaksanakan secara kecil-kecilan.
“Saya memilih untuk tidak menghebohkan majlis ini bagi menghormati perasaan emak dan abah. Majlis kami diadakan dalam skala kecil dengan makanan yang terhad. Ini bukan soal kedekut, tetapi kerana ini adalah perkahwinan kedua saya. Saya tidak mahu menimbulkan fitnah jika makanan tidak mencukupi,” katanya.
Ina turut berkongsi bahawa bakal suaminya, seorang bekas tenaga pengajar di Giat Mara, merupakan peminat Allahyarham Suhaimi dan telah mengenalinya sejak Aidilfitri lalu. Bakal suaminya juga dikenali sebagai seorang yang berjiwa penyayang dan berhasrat untuk menjaga anak-anak Ina dengan penuh keikhlasan.
“Bakal suami saya berusia 41 tahun dan duda anak dua. Dia sudah lama mengagumi cara arwah mendidik anak-anak kami. Dia mula menghantar mesej kepada saya di WhatsApp, dan pada mulanya saya tidak melayan. Namun, setelah dia berusaha dengan sabar, saya akhirnya membuka ruang untuk mengenalinya,” jelas Ina.
Menurutnya, bakal suaminya turut menyatakan hasrat untuk berkahwin kerana mahu mengumpul pahala menjaga anak yatim dan membantu seorang ibu tunggal. Ina turut bersyukur kerana anak-anaknya memahami dan menerima kehadiran bakal bapa tiri mereka.
“Alhamdulillah, mereka terima. Saya jelaskan kepada anak-anak sebab saya perlu berkahwin semula. Saya nampak bakal suami ikhlas menyayangi anak-anak saya dan mahu menjadi seperti arwah suami, dengan latar belakangnya dalam bidang kejuruteraan yang membolehkannya mendidik anak-anak,” ujar Ina.
Ina, atau nama sebenarnya Nordiana Md Naim, turut mendapat sokongan daripada ibu bapa serta adik-beradik arwah suaminya untuk berkahwin semula, kerana mereka menyedari betapa sukarnya untuk beliau membesarkan anak-anak seorang diri.
“Adik-beradik arwah memberikan galakan kerana mereka tahu bukan mudah bagi saya menguruskan keluarga seorang diri. Sekurang-kurangnya kini ada seseorang yang dapat membantu saya dalam membimbing anak-anak,” katanya lagi.