Ekonomi

Perlis tawar insentif menarik kepada pelabur

24 Oktober 2024.
Kuala Lumpur.

Kerajaan Negeri Perlis menawarkan insentif pelaburan yang menarik dalam usaha mempelawa pelabur-pelabur tempatan dan asing untuk melabur di negeri ini terutamanya di kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dalam kluster industri halal, automotif, ‘green manufacturing’ dan ‘renewable energy’.

Usaha lain termasuklah menawarkan 100% pengecualian cukai pendapatan sehingga 15 tahun, 100% elaun cukai pelaburan (ITA) sehingga 10 tahun, pengecualian duti import dan duti setem.

Maklumat tersebut dipersembah maklumkan oleh Setiausaha Bahagian (BPEN) Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis (BPEN), Zuhair Jamaludin sempena sesi mengadap ke atas Raja Muda Perlis oleh delegasi dari Persatuan Usahawan China di Malaysia (PUCM) yang diketuai oleh Presiden PUCM, Datuk Keith Li di Royal Selangor Golf Club (RSGC) Kuala Lumpur.

Keberangkatan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut diiringi sama oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Dato’ Rahimi Ismail, Pengarah Eksekutif Penggalakan Pelaburan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Faizal Jalaludin dan Pengarah Bahagian Pelaburan Tempatan MIDA, Sukri Abu Bakar.

PUCM turut menyatakan bahawa Perlis mempunyai potensi besar kerana mempunyai sumber mineral semulajadi yang boleh diterokai secara bersama dengan Kerajaan Negeri khususnya dalam bidang berkaitan perlombongan dolomite yang berkualiti, projek berkaitan pembangunan ladang solar dan tidak terkecuali juga sektor logistik kerana lokasinya yang sangat strategik terletak bersebelahan dengan selatan Negara Thailand.

Pihak PUCM juga dimaklumkan mengenai insentif yang ditawarkan termasuklah pegangan pajakan, premium tanah dan juga kelulusan prinsipal dalam tempoh 30 hari bagi pembangunan swasta.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan agar pertemuan ini akan membuahkan hasil yang positif dan menggalakkan para usahawan PUCM untuk menerokai peluang-peluang dan potensi sebarang pelaburan di Negeri Perlis.

Perbincangan ini turut merangkumi hubungan dua hala di antara Malaysia dan China bagi prospek kerjasama perdagangan yang dapat mengeratkan hubungan dua negara ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button