Bila uban jadi soalan di live, Tokti jawab dengan senyuman
PENYANYI terkenal, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, terhibur mendengar pertanyaan netizen semasa penstriman langsung menjual produk atas talian Simplysiti di TikTok. Dalam sesi tersebut, pengusaha kosmetik ini tidak merasa tersinggung atau kekok ketika diajukan soalan tentang penuaan, kerana beliau menganggapnya sebagai anugerah dari Allah S.W.T.
Melalui sebuah video yang dikongsi oleh akaun TikTok peminatnya, @sitinurhalizafantastic, Dato’ Siti ditanya oleh seorang warganet sama ada beliau mempunyai uban di rambutnya.
Lebih mesra dipanggil Tokti, selebriti kelahiran Pahang ini menjawab soalan itu dengan nada bergurau, “Kenapa tanya soalan tu?” disertai tawa manja.
Tokti menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai masalah jika rambutnya ditumbuhi uban.
“Kenapa tanya soalan itu? Ala, saya rasa kita ni tak akan menolak ketentuan Allah. Uban itu akan ada, lagipun saya sudah berumur 45 tahun,” jawabnya dengan tenang sambil bergurau. Beliau juga menambah bahawa uban tersebut akan menjadi cahaya di akhirat kelak.
Menurut pemilik nama Siti Nurhaliza Tarudin, penuaan bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan.
“Tak ada masalah pun. Uban kita ini akan menjadi cahaya kita di sana nanti,” jelasnya.
Di ruangan komen video TikTok tersebut, ramai netizen bersetuju dengan jawapan mesra Tokti, menganggap bahawa proses penuaan dan kemunculan uban adalah perkara normal yang akan dilalui oleh semua manusia.