Hiburan

A Night with Sumandak Stars’ konsert unik himpunkan artis dari Borneo

SYARIKAT penganjur konsert terkemuka, Orange International, dengan bangganya mengumumkan penganjuran konsert ‘A Night With Sumandak Stars – Ceritera Hatiku’ dalam satu sidang akhbar eksklusif yang diadakan di Sky Lounge, Tingkat 40, Hotel Tamu, baru-baru ini.

Konsert ini dijadualkan berlangsung pada 30 November 2024, bermula jam 8:00 malam di Zepp, Kuala Lumpur. Konsert ini bakal menampilkan gabungan penyanyi popular kelahiran Sabah seperti Bella Astillah, Marsha Milan, Adira Suhaimi, Stacy Anam, Nikky Palikat, Wani Kayrie, dan Didi Astillah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Orange International, Dato’ Mohd Fadzli Idrus,

“Ini adalah kali pertama kami menghimpunkan semua penyanyi terkenal dari Sabah di atas satu pentas. Acara ini adalah hadiah eksklusif untuk peminat muzik tempatan, dan kami teruja untuk menganjurkan konsert ini buat penggemar muzik Malaysia.”

Beliau turut menambah, “Kami sangat berbangga dapat membawa tujuh artis wanita berbakat besar dari Sabah, yang masing-masing memiliki pencapaian tersendiri dalam industri muzik. Ini adalah satu peluang istimewa untuk mereka tampil dalam acara yang belum pernah diadakan sebelum ini.”

Setelah kejayaan penganjuran konsert-konsert terdahulu seperti Radja & Ella, Wali Band X Setia, dan konsert Drama Band yang tiketnya habis terjual baru-baru ini, Orange International sekali lagi tampil dengan sesuatu yang baharu dan segar. Mereka sentiasa berusaha mencari formula unik untuk menghiburkan peminat muzik tempatan dengan persembahan yang luar biasa.

“Pemilihan artis untuk konsert ini berdasarkan pencapaian membanggakan mereka, termasuk pengiktirafan di pelbagai anugerah. Masing-masing mempunyai repertoir yang kuat dan terus menyinari industri muzik. Sebagai contoh, Bella dinobatkan sebagai ‘Celebrity Of The Year’ di TikTok Awards Malaysia 2024, manakala Marsha, Adira, Stacy, dan Nikky telah memenangi anugerah seperti Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dan Anugerah Juara Lagu (AJL),” kata Dato’ Fadzli.

Beliau juga menekankan kepentingan memberi peluang kepada pelapis baharu seperti Wani Kayrie dan Didi Astillah. “Konsert ini adalah platform yang terbaik untuk mereka menonjolkan bakat yang ada dan kami yakin mereka akan menyerlah,” tambahnya.

Orange International turut mendedahkan bahawa penonton boleh menjangkakan beberapa kejutan istimewa pada malam konsert tersebut.

“Kami mengajak semua peminat muzik untuk hadir dan menikmati persembahan ini. Ini adalah usaha kami untuk menyajikan muzik berkualiti kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengira usia atau latar belakang,” ujar Dato’ Fadzli.

Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, sila layari laman web Ticket2u.com.my/sumandak atau hubungi talian hotline +6012-4949 267. Harga tiket adalah seperti berikut:

•VIP [Special Seating] – RM349

•Cat 1 [Normal Seating] – RM239

•Cat 2 [Free Standing] – RM139

•Cat 3 [Normal Seating] – RM259

•Cat 4 [Normal Seating] – RM159

•VIP Box – RM6999

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button