Pendidikan

Raja Muda Perlis titah semua pihak di dalam bidang pendidikan fokus melahirkan tenaga mahir mengikut keperluan industri

KUALA LUMPUR 13 Okt. –  Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar semua pihak sama ada agensi kerajaan atau badan swasta memberikan fokus kepada usaha menyediakan pekerja mahir atau separa mahir bagi memenuhi keperluan pekerjaan di kawasan Perindustrian Lembah Chuping atau Chuping Valley Industrial Area (CVIA).

Demikian titah Baginda selepas berkenan berangkat menghadiri satu majlis mengadap hormat oleh Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Datuk Imran Salim di Kuala Lumpur semalam.

Mengiringi Baginda, Syed Jufri Dhiauddin Putra Jamallulail dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Titah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, usaha untuk menyediakan bekalan pekerja mahir dan separa mahir adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan pembangunan ekonomi yang berterusan di negeri Perlis dan dapat meluaskan manfaat kepada rakyat negeri itu.

Menurut Tuanku Raja Muda, fokus utama yang perlu dilaksanakan adalah meliputi pelbagai inisiatif yang boleh diambil untuk melatih dan membangunkan jumlah tenaga kerja dari kalangan rakyat Negeri Perlis.

MRCB adalah salah satu syarikat hartanah dan pembinaan terkemuka negara yang telah menjadi pemain utama dalam pembangunan negara sejak disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 1971.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button