Acara

Membina kewangan berdaya tahan inisiatif bulan literasi kewangan

BULAN Literasi Kewangan (FLM) kembali tahun ini dengan fokus perbincangan yang bernas untuk mempromosikan literasi kewangan kepada semua kelompok masyarakat Malaysia.

Untuk FLM tahun ini, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) memperkenalkan empat siri penerbitan yang bertujuan untuk meningkatkan pemahaman kewangan di kalangan individu pada semua peringkat umur. Siri penerbitan ini menyediakan panduan kewangan yang sesuai bagi empat tahap kehidupan, bermula dari pengajian tinggi hingga persaraan.

 

Dikenali sebagai ‘GROW’, siri ini terdiri daripada empat buku: Gaining Knowledge, Realising Potential, Optimising Resources, dan Wealth Wisdom. Buku pertama menumpukan kepada pelajar pengajian tinggi dengan pengetahuan tentang simpanan, belanjawan, nilai bersih, dan pengurusan skor kredit yang sihat. Buku kedua membimbing pekerja muda dalam mengurus pinjaman dan kad kredit, membina dana kecemasan, serta memahami asas pelaburan. Buku ketiga mengarahkan keluarga untuk memaksimumkan sumber kewangan mereka demi masa depan yang terjamin dan mampan melalui instrumen perlindungan dan pelaburan yang tepat. Sementara buku keempat memberikan panduan kepada bakal pesara tentang perancangan persaraan, pengurusan harta pusaka, dan pengoptimuman simpanan KWSP.

 

Siri GROW merupakan sumber rujukan yang berharga untuk perjalanan kewangan individu sepanjang hayat. Dengan penerapan prinsip dan strategi yang terdapat dalam siri ini, diharapkan dapat menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi masyarakat secara keseluruhan.

Bersempena dengan FLM, AKPK, bersama Bank Negara Malaysia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), telah menganjurkan Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan 2024 (NFLS 2024) dari 2 hingga 3 Oktober 2024 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. Simposium tahunan ini menyediakan platform untuk perbincangan penting dalam mempromosikan literasi dan keterangkuman kewangan.

FLM 2024 dirasmikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pada 1 Oktober 2024, di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia. Inisiatif ini mengutamakan literasi kewangan sebagai elemen teras dalam agenda Strategi Kebangsaan untuk Literasi Kewangan 2019-2023, yang bertujuan membina tabiat kewangan yang bertanggungjawab, meningkatkan perancangan kewangan, dan membina daya tahan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button