Great British Circus sumbang kepada mangsa banjir di Perlis
KANGAR 11 Okt. – Great British Circus menyalurkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada mangsa-mangsa banjir Negeri Perlis melalui Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.
Majlis penyerahan sumbangan tersebut telah disaksikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Ia disampaikan oleh Pengurus Besar Big Kid Entertainment (M) Sdn. Bhd yang menganjurkan Great British Circus itu iaitu Jose Omar Avila Trujillo kepada Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus yang berlangsung di Dataran Kangar Jaya, Kangar.
Menurut Datuk Johari, ‘Sumbangan tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya dan disalurkan kepada rakyat negeri ini yang terkesan dengan musibah yang melanda baru-baru ini’.
Dalam pada itu Jose Omar berasa teruja di atas limpah perkenan Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda berangkat menyaksikan persembahan sarkas mereka yang melibatkan akrobat-akrobat antarabangsa dari pelbagai negara termasuklah United Kingdom, Brazil, Iran, Colombia, Ukraine dan lain-lain lagi.
Great British Circus berlangsung di Kangar bermula pada 28 September lalu sehingga 20 Oktober 2024 yang akan datang ini.
Pertunjukkan yang penuh dengan aksi hiburan dan muzikal selama 2 jam ini merangkumi aksi-aksi komedi dan persembahan mengujakan yang sesuai untuk tatapan serta disaksikan oleh seisi keluarga dan kanak-kanak.