Ekonomi

Public Bank cadang ambil alih 44.15 peratus kepentingan dalam LPI Capital

KUALA LUMPUR 10 Okt – Public Bank Berhad (“Public Bank”) menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan Estet Mendiang Tan Sri Dr. Teh Hong Piow dan Consolidated Teh Holdings Sdn Bhd untuk jumlah pertimbangan tunai sebanyak RM1.72 bilion.

Perjanjian yang ditandatangani hari ini adalah untuk mengambil alih saham-saham biasa secara agregat di dalam LPI Capital Bhd sebanyak
175,896,000 mewakili kira-kira 44.15 peratus.

LPI, sebuah syarikat yang disenaraikan pada Papan Utama Bursa Malaysia, telah beroperasi selama lebih 60 tahun dan terlibat terutamanya dalam penajajaminan insurans am dan mempunyai 21 buah cawangan di serata Malaysia, sebuah cawangan di Singapura dan turut beroperasi di Kemboja melalui sebuah syarikat bersekutu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank Tan Sri Dr. Tay Ah Lek berkata, cadangan pengambilahan ini merupakan peluang strategik untuk Public Bank mengembangkan lagi segmen insurans amnya dalam pasaran di Malaysia melalui LPI.

“Ini membolehkan Public Bank untuk turut segera berada dalam pasaran insurans dan memperkukuhkan segmen insurans am di Malaysia sebagai perkhidmatan sampingan yang komprehensif bagi perkhidmatan kewangan dan Takaful Keluarga” katanya di sini hari ini.

Ah Lek menambah Cadangan Pengambilalihan ini juga selari dengan rancangan Kumpulan untuk berkembang bukan hanya secara organik tetapi melalui pengambilalihan yang strategik untuk memperluaskan tawaran produk dan perkhidmatan seperti yang dibuat melalui pengambilalihan Public Bank Securities Vietnam Company Limited baru-baru ini, yang membolehkan Kumpulan mengembangkan tawaran perkhidmatan kewangannya di Vietnam menerusi perkhidmatan perdagangan sekuriti.

Memandangkan ini merupakan urus niaga pihak yang berkaitan, Cadangan Pengambilalihan ini tertakluk pada kelulusan para pemegang saham tidak berkepentingan Public Bank pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (“EGM”) yang akan diadakan kelak.

Sekiranya Cadangan Pengambilalihan ini diluluskan di mesyuarat tersebut, Public Bank diwajibkan untuk memberi tawaran pengambilalihan mandatori (“MGO”) (“Cadangan Tawaran”) bagi kepentingan ekuiti selebihnya dalam LPI yang belum lagi dimiliki oleh Public Bank.

Beliau berkata, Public Bank telah menerima kelulusan daripada Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia bagi Cadangan Pengambilalihan ini dan pelaksanaan korporat ini dijangka selesai pada suku pertama tahun 2025.

Ah Lek menambah dengan rangkaian sedia ada kami iaitu lebih daripada 260 buah cawangan yang ditempatkan di seluruh negara, Kumpulan LPI boleh memanfaat dan memperluaskan saluran pemasaran serta mengembangkan perniagaan insurans amnya di Malaysia.

“Kami juga boleh memanfaatkan rangkaian jualan dan pemasaran LPI, selain memberi perkhidmatan kami kepada klien dan pelanggan LPI. Selain menawarkan produk dan perkhidmatan masing-masing, Public Bank dan LPI juga boleh meneroka peluang untuk membangunkan produk dan perkhidmatan bersepadu baharu, khusus untuk memenuhi keperluan kewangan dan insurans pelanggan kami.”

Dalam pada itu anak perempuan bongsu mendiang Tan Sri Dr. Teh Hong Piow Diona Teh Li Shian berkata dua entiti milik keluarganya berhasrat untuk membuat tawaran terhad bagi penjualan (“ROFS”) satu bahagian daripada Saham Public Bank, secara progresif dalam tempoh lima tahun seiring dengan Akta Kewangan dan Perkhidmatan.

“Sebagai menghormati legasi beliau dan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kami yang tinggi, kami akan melaksanakan untuk mengagihkan sebahagian daripada saham Public Bank, pada harga diskaun, kepada semua kakitangan, pengarah dan pemegang saham Kumpulan Public Bank yang layak,” katanya.

Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan Public Bank kekal dalam genggaman mereka yang sentiasa memastikan pertumbuhan dan kejayaannya, sejak dahulu lagi, sehingga membolehkan Public Bank untuk terus membina legasi bersama.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button