Politik

Keputusan nasib Bung Moktar dan Zizie Izatte diumum 18 November

AHLI Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, akan mengetahui pada 18 November sama ada mereka kekal bebas atau perlu membela diri dalam kes tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta. Mahkamah Rayuan telah menetapkan tarikh tersebut untuk membacakan keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan pasangan tersebut oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun lalu.

Pada 7 September 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Bung Moktar, 65, dan Zizie Izette, 46, daripada tiga pertuduhan rasuah yang melibatkan pelaburan RM150 juta oleh FELCRA Berhad dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Pada prosiding hari ini, Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang mengetuai tiga panel hakim Mahkamah Rayuan menyatakan bahawa hujahan bertulis daripada pihak pendakwaan sudah mencukupi untuk panel hakim menilai dan membuat keputusan. Panel hakim turut dianggotai oleh Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin.

Jika rayuan pendakwaan diterima, Bung Moktar dan Zizie Izette akan diarahkan untuk membela diri atas tuduhan menerima rasuah masing-masing sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk meluluskan pelaburan FELCRA dalam unit amanah Public Mutual. Zizie Izette juga menghadapi tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya, yang ketika itu memegang jawatan Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA.

Bung Moktar, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, serta Zizie Izette, diwakili oleh peguam M Athimulan dan Datuk Seri K Kumaraendran, manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaide.

Sebelum ini, Maziah memaklumkan bahawa pendakwa utama, Law Chin How, tidak dapat hadir kerana cuti sakit. Namun, mahkamah memutuskan untuk meneruskan rayuan berdasarkan hujahan bertulis yang difailkan pada 20 Jun lalu.

Pada 2 September 2022, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan pasangan ini membela diri atas tiga tuduhan rasuah setelah pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie. Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 untuk meluluskan pelaburan FELCRA dalam unit amanah Public Mutual. Suapan tersebut didakwa diterima daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, 45, melalui Zizie Izette di Public Bank, Cawangan Taman Melawati, Kuala Lumpur pada 12 Jun 2015.

Beliau juga didakwa menerima suapan tunai sebanyak RM337,500 daripada perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, 47, atas nama Zizie Izette pada 19 Jun 2015. Zizie Izette pula menghadapi tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya dalam kes tersebut.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button