Alam Sekitar

100 kilo sampah dikutip di Pantai Puteri, Tanjung Kling

Sebanyak 178 kilogram (kg) sisa berjaya dikumpulkan dalam
tempoh dua jam menerusi Program Pembersihan Pantai (World Cleanup Day) 2024 anjuran SWM
Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) di Pantai Puteri, Tanjung Kling.

Daripada jumlah itu kira-kira 30 kg barangan yang boleh dikitar semula berjaya dikumpul
membabitkan pelbagai jenis plastik, kertas, aluminium, botol kaca dan lain-lain.

Pada penganjuran World Clean Up Day (WCD) kali ini berjaya mengumpulkan sejumlah 1,226
puntung rokok, 504 unit botol plastik dan 333 cebisan plastik yang merupakan tiga sisa tertinggi
yang dikumpulkan oleh sukarelawan.

Menurut Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Tuan Haji Mohd Norlisam Mohd Nordin,
sempena WCD kali ini, SWM Environment mengambil inisiatif membersihkan pantai bersama
rakan-rakan strategik sebagai tanda sokongan kepada inisiatif WCD sebagai galakan
pembersihan kepada orang ramai demi kelestarian alam.

“Program seumpama ini diharap dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai
kepentingan menjaga dan memelihara kebersihan pantai dan demi kelesaan semua pihak yang
berkunjung ke pantai ini.

“Pantai yang bersih dan indah bukan sahaja dapat menarik pengunjung ke salah satu pantai
tumpuan di negeri ini, malah membantu kerajaan negeri mempromosi Pantai Puteri sebagai salah
satu destinasi pelancongan di negeri Melaka lebih-lebih lagi pada Tahun Melawat Melaka 2024
ketika ini,” katanya.

Program bersempena Hari Pembersihan Sedunia atau World Cleanup Day (WCD) 2024 ini disertai
kira-kira 50 sukarelawan daripada beberapa rakan strategik SWM Environment serta komuniti
setempat.

Sukarelawan yang turut serta mewakili beberapa agensi antaranya Perbadanan Sisa Pepejal dan
Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Melaka, Teladan Setia Group Berhad, Melaka Bird Nest
Enterprise Sdn Bhd serta komuniti setempat yang menjalankan aktiviti kutipan sampah (plogging)
secara berkumpulan di sekitar persisiran pantai berkenaan.

Pada program itu, sukarelawan turut diberikan penerangan mengenai pengurusan sisa pepejal
dan audit sisa bagi mengasingkan sisa yang boleh dikitar semula serta sisa sampah.

Sisa yang boleh dikitar semula kemudiannya diasingkan mengikut kategori seperti plastik, kertas,
botol kaca dan sisa yang tidak boleh dikitar semula sebelum setiap kategori sisa ditimbang untuk
direkodkan bagi melengkapkan pelaksanaan aktiviti pembersihan WCD 2024.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button