Raja Muda Perlis seru rakyat bergerak ke hadapan dengan yakin
ARAU 26 Sept. – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak masyarakat sama-sama bergerak ke hadapan dengan penuh yakin mengenai pemikiran yang berorientasikan masa depan, bersedia untuk merebut segala peluang yang ada di hadapan. Bersama-samalah, kita membina sebuah negeri dan negara yang bukan sahaja seiring dengan taraf dunia tetapi juga membawanya ke arah masa depan yang lebih cerah dan makmur.
Generasi muda kita, dengan kebolehsuaian semula jadi mereka, akan mampu untuk terus mendahului, seperti yang mereka lakukan ketika mula-mula diperkenalkan kepada keajaiban e-mel, internet dan telefon pintar.
Melalui latihan dan pendidikan yang berdedikasi, masyarakat pada semua peringkat umur dan latar belakang pendidikan akan berpeluang untuk meningkatkan kemahiran masing-masing dan berkembang maju dalam landskap teknologi baharu ini. Ini adalah masa yang sangat mengujakan, dan kita mesti sama-sama berada di barisan hadapan dalam tidak sekali-kali ketinggalan dalam revolusi perindustrian baharu ini.
Demikitan titah Tuanku Raja Muda selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kg Guar Gajah, Arau.
Baginda turut diiringi sama oleh ketua-ketua jabatan dan agensi negeri bagi mengenal pasti masalah masyarakat yang terdiri daripada golongan asnaf dan seterusnya mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi membantu mereka.
Usaha murni ini merupakan inisiatif MAIPs secara mingguan bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik ini untuk cuba keluar dari lingkaran kemiskinan dan seterusnya menurunkan kadar kemiskinan negeri ini.
Tuanku Raja Muda merangkap Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan sumbangan MAIPs kepada 3 orang asnaf yang terpilih pada edisi kali ini iaitu Khairol Azhar Hashim, 40 tahun dari Kampung Bakong, Mohd Jamal Mansor, 54 tahun, tinggal di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Arau, dan Halimah Husain, 76 tahun juga dari penempatan yang sama.
Setiap daripada mereka menerima sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM700, bantuan Kits MAIPs Peduli dan beras Fidyah bagi menampung keperluan harian masing-masing dari MAIPs.