Nasional

Kenyataan MOTAC isu daftar dan keluar hotel dikecam oleh netizen

KENYATAAN media yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengenai isu penetapan masa daftar masuk dan keluar di hotel-hotel seluruh Malaysia telah mengundang rasa kurang senang di kalangan netizen.

Kenyataan tersebut, yang dimuat naik di laman X MOTAC (dahulunya dikenali sebagai Twitter), dikritik oleh rakyat Malaysia sebagai tindakan yang seperti “melepaskan batuk di tangga,” tanpa menyelesaikan masalah yang dibangkitkan.

Ramai rakyat Malaysia berpendapat bahawa kenyataan lima perenggan itu tidak mencerminkan peranan MOTAC sebagai kementerian yang bertanggungjawab ke atas penguatkuasaan dan undang-undang dalam sektor perhotelan. Sebaliknya, MOTAC hanya memilih untuk memantau isu ini dan menasihatkan orang ramai supaya membaca serta memahami terma dan syarat yang ditetapkan oleh pihak hotel.

Dalam kenyataan itu, MOTAC menyebut:

“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ingin merujuk kepada isu yang sedang tular di media sosial berkaitan waktu daftar masuk (check-in) dan daftar keluar (check-out) industri perhotelan di Malaysia. MOTAC memahami kebimbangan yang disuarakan oleh orang awam serta pelancong berhubung perkara ini.

“MOTAC sedang memantau isu ini dengan lebih dekat dan memberikan perhatian serius kepada pengusaha industri perhotelan untuk memberikan penjelasan berhubung perkara ini. Kenyataan media telah dikeluarkan oleh Malaysia Budget & Business Hotel Association (MyBHA) dan Malaysian Tourism Federation (MTF) sebagai penjelasan lanjut.

“MOTAC juga menasihatkan orang ramai agar sentiasa membaca dan memahami terma serta syarat yang ditetapkan oleh pihak hotel sebelum membuat tempahan. Ini penting untuk mengelakkan sebarang salah faham atau ketidakpuasan hati, terutamanya berkaitan dengan penetapan harga serta perkhidmatan yang disediakan.”

Namun, di ruangan komen, ramai rakyat Malaysia meluahkan rasa kecewa dengan tindakan MOTAC yang sekadar memantau isu ini tanpa menawarkan sebarang penyelesaian konkrit. Sebahagian netizen pula berpendapat bahawa kenyataan tersebut menunjukkan sikap tidak bersungguh kementerian, sehingga mendorong mereka untuk bercuti ke luar negara, kerana merasa tidak dilindungi oleh kementerian yang sepatutnya menjaga kepentingan pengguna dalam industri pelancongan tempatan.

Isu ini mula mendapat perhatian selepas seorang pengguna media sosial, Hakim H (@netnetwok), meluahkan rasa tidak puas hati terhadap masa daftar masuk dan keluar yang tidak konsisten di hotel-hotel di Malaysia. Beliau mengeluh bahawa waktu daftar masuk semakin lewat, manakala waktu daftar keluar dipercepatkan, menyebabkan pelanggan merasa tidak berpuas hati. Ini akhirnya mencetuskan perbincangan meluas di media sosial, dengan ramai yang berharap agar MOTAC dapat campur tangan untuk menyelaraskan masa daftar masuk dan keluar hotel di negara ini.

Artikle Berkaitan :>

Menteri MOTAC turut jayakan lawatan kerja PM Anwar ke Sadao, Thailand

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button