Nasional

Raja Muda Perlis saran Jabatan Audit bantu semua jabatan serta agensi kerajaan

KANGAR 22 Sept. – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menyarankan agar Jabatan Audit Negara (JAN) terus membantu jabatan-jabatan serta agensi-agensi di negeri Perlis menggunakan pendekatan membimbing dan memantau secara berterusan bagi mempertingkatkan lagi prestasi penyampaian perkhidmatan masing-masing dengan sebaik mungkin.

Untuk tujuan tersebut Baginda juga mahu jabatan-jabatan serta agensi-agensi terbabit menerima dengan hati terbuka peranan JAN Negeri Perlis sebagai rakan pendamping dan bukan sekadar mencari kesalahan. Dengan erti kata lain juga Jabatan Audit Negara menjadi penimbang tara ke arah memperteguh peranan dan fungsi sesuatu jabatan dan agensi itu.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian menurut hebahan media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika berkenan menerima mengadap Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi di Dewan Kuliyyah MAIPs, Behor Temak, Kangar baru-baru ini.

Mengiringi Wan Suraya ialah Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan), Hajah Patimah Ramuji, Pengarah Audit Kewangan Ibu Pejabat Jabatan Audit Negara, Norliza Md Nuruddin@Nordin dan Pengarah Audit Negara Negeri Perlis, Rabianto Haji Sokam

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Che Murad Sayang Ranjan dan Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof Dr. Mohd Asri Zainul Abidin serta Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Pengukuhan MAIPs, Datuk Abd Rauf Rashid dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Pada kesempatan itu, Tuanku Raja Muda bertitah agar semua agensi-agensi di Perlis memberikan komitmen yang padu kepada sasaran peribadi Baginda supaya pencapaian keseluruhan pencapaian Sijil Bersih Tanpa Teguran Ketua Audit Negara menjelang tahun 2027.

“Amalan terbaik yang dilaksanakan oleh beberapa agensi termasuklah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis yang berjaya mendapat Sijil Bersih Tanpa Teguran dan juga MAIPs yang telah berjaya mempertahankan selama 11 tahun mesti dilaksanakan oleh semua agensi di negeri Perlis agar sasaran pencapaian pengiktirafan akan dapat direalisasikan,” tegas Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Untuk rekod, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah pernah mencipta sejarah sebelum ini apabila muncul sebagai Majlis Agama Islam pertama yang menerima pengiktirafan Standard Accounting for Government Agencies (SAGA) pada tahun 2017 selain muncul sebagai agensi Kerajaan Negeri Perlis pertama yang memperolehi pengiktirafan berkenaan. MAIPs juga berjaya mengekalkan penarafan berkenaan pada tahun 2022 selain telah ditarafkan 5 Bintang daripada Jabatan Audit Negara dalam kecemerlangan Pengurusan Kewangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti oleh Ketua Audit Negara pada 2019.

(Foto MAIPs)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button