Pasport diconteng, rosak akibat kesan air dan tunggakan cukai antara sekatan melancong ke luar negara
PENGARAH Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata terdapat pelbagai kes rakyat Malaysia terpaksa melupakan hasrat untuk melancong ke Thailand.
Antaranya isu pasport, tunggakan cukai pendapatan, cukai kastam, pasport rosak akibat terkena air, pasport diconteng oleh anak kecil, dan jenayah lama.
Masalah itu dikesan melalui data yang diperoleh daripada Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
“Terdapat 10 kes melibatkan pasport rosak seperti koyak, kerosakan akibat air, muka surat hilang dan calar.
“Terdapat juga 20 kes berkaitan tunggakan cukai pendapatan dan sembilan kes melibatkan isu kastam, menjadikan perjalanan rentas sempadan ini lebih mencabar bagi mereka yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Ridzzuan berkata bagi mengelakkan tekanan dan kekecewaan di saat akhir, semua rakyat Malaysia dinasihatkan untuk menyemak status perjalanan mereka secara dalam talian di portal Sistem Semakan Perjalanan Imigresen (SSPI) sebelum membuat sebarang rancangan untuk melancong ke luar negara.
“Mereka hanya perlu memasukkan nombor MyKad mereka dalam portal SSPI untuk mengetahui sama ada mereka berada dalam senarai sekatan perjalanan atau tidak,” katanya.
Memetik hantaran Facebook Jabatan Kastam Malaysia Negeri Kedah, salah seorang rakyat Malaysia yang terjejas untuk masuk ke Thailand, dikenali sebagai Maznah, berkata namanya tersenarai dalam sekatan perjalanan kerana gagal menjelaskan cukai pendapatan.
“Saya memang teruja nak makan tomyam asli di Hatyai dan bercuti dengan keluarga besar, tapi tiba-tiba semuanya musnah. Saya tak sedar ada masalah cukai,” katanya dengan nada kecewa.
Manakala bagi Ramesh pula, dia terpaksa membatalkan percutian ke Thailand bersama keluarga selepas pasport anaknya diconteng tanpa disedarinya.
“Semua hotel dan penginapan dah ditempah, kami rancang bercuti tiga hari. Tapi bila sampai di kaunter, pegawai beritahu pasport anak saya rosak. Saya memang tak perasan ada contengan. Habis semua perancangan kami,” ujar Ramesh, penuh kesal.