Berita

Nak elak patung ‘Penyu’ atas jalan raya, akhirnya Maut – salah seorang peserta RXZ 6.0

SEORANG peserta Program Himpunan RXZ Members 6.0 maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan akibat mengelak patung penyu di Kilometer 270.1 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Perasing semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kejadian berkenaan berlaku kira-kira jam 11 pagi.

Mangsa dikenali sebagai Mohamad Firdaus Abdul Rashid, 29, yang berasal dari Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian berikutan kecederaan di kepala.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Muhamad Syafiq Abdul Halim, 29, yang juga peserta program himpunan tersebut dan turut terlibat dalam kemalangan itu mengalami kecederaan parah. Mangsa dari Bandar Baru Serting, Negeri Sembilan mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang untuk menerima rawatan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kedua-dua motosikal jenis Yamaha RX-Z yang ditunggang oleh kedua-dua mangsa mengelak patung penyu yang berada di laluan sebelah kiri lebuh raya.

“Ketika mereka mengelak patung itu, motosikal mereka bergesel dan terbabas,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian, kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke kediaman masing-masing selepas menghadiri program himpunan RXZ itu di Kuala Nerus.

Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, Program Himpunan Motosikal RXZ Members 6.0 yang berlangsung selama dua hari dari Jumaat hingga Sabtu lalu di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak di sini merekodkan penyertaan lebih 40,000 peserta.

Artikle Berkaitan :>

Penyanyi Reedzwann terlibat dalam kemalangan, rakan wanita maut

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button