Acara

Sambutan hangat di jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire: 8,000 pengunjung serbu Mydin Mall

JELAJAH Suria Kuasa 2 Yaya Empire baru-baru ini di Mydin Mall, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, mencatat kejayaan besar dengan kehadiran lebih 8,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya. Acara ini menerima sambutan yang sangat menggalakkan, membuktikan populariti stesen Suria FM dan komitmen penganjur untuk memberi pengalaman yang memuaskan kepada peminat.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid, menyatakan rasa syukur dan lega atas sambutan yang diterima kali ini.

“Kami sangat gembira melihat kehadiran yang luar biasa sejak hari pertama. Aktiviti KiraOke Suria yang menawarkan hadiah wang tunai ternyata menjadi tarikan utama. Hari konsert juga tidak kurang meriahnya dengan penampilan bintang seperti Ernie Zakri, Ara Johari, Haqiem Rusli, Zamani, dan Kristal X, yang memeriahkan suasana dari pagi hingga malam,” katanya.

Aktiviti KiraOke Suria kali ini bukan sekadar mencari penyanyi, tetapi juga membuka peluang untuk bakat lain termasuk penyampai radio dan pempengaruh. DJ Lin, yang juga dikenali sebagai Roslinda, memaklumkan bahawa penyertaan sangat memberangsangkan dengan lebih 30 penyertaan awal yang disenarai pendekkan kepada lima finalis di setiap lokasi. Hadiah keseluruhan bernilai RM16,500 disediakan bagi tiga pemenang utama di setiap lokasi jelajah.

“Kami sangat terharu kerana ada peserta dari jauh seperti Putrajaya dan Subang, Selangor yang datang semata-mata untuk mencuba nasib. Kami mencari bakat yang bukan hanya berbakat dalam menyanyi tetapi juga mempunyai personaliti menarik dan kebolehan lain,” tambahnya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Yaya Empire, Nadia Mat Isa, Yaya Empire, sebagai penaja utama, turut membawa misi istimewa untuk memartabatkan penyanyi dikir dari Kelantan.

“Kami ingin memperkenalkan bakat seni penyanyi dikir yang terkenal di Kelantan kepada peminat Suria FM. Penyanyi dikir bukan sahaja popular di Kelantan tetapi juga semakin dikenali di media sosial seperti TikTok.”

Nadia, yang mesra disapa Yaya, berkeyakinan bahawa jalinan antara perniagaan wangiannya dan dunia hiburan akan membawa manfaat besar.

“Kerjasama dengan artis seperti Zamani dan DJ Lin membuka peluang baru dalam perniagaan kami. Sambutan yang sangat baik di Pulau Pinang, dengan jualan mencecah lima angka dalam dua hari, membuktikan bahawa gabungan ini memberi impak positif.”

Menjelang edisi jelajah di Kelantan, Nadia turut menambah bahawa pertandingan KiraOke Suria akan menggunakan format pencarian bakat penyanyi dikir di negeri tersebut.

“Kami berharap penyanyi dikir akan diterima baik dan lagu-lagu mereka dapat diputar di radio tempatan,” katanya.

Dengan sambutan yang sangat memberangsangkan, Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire terus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform utama untuk mencari dan mempromosikan bakat-bakat baru dalam industri hiburan Malaysia.

Artikle Berkaitan :>

“Kak Lin, terima kasih atas penganiayaan ini,” – Suria FM tidak sambung kontrak Tyzo

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button