Rejimen AW 504 terima tiga anugerah cemerlang
KANGAR 13 Sept. – Rejimen 504 Askar Wataniah telah berjaya menerima 3 penganugerahan cemerlang daripada Jabatan Arah Rekod dan Pencen Angkatan Tentera Malaysia bagi Pemeriksaan Dokumentasi Tahunan iaitu pada tahun 2010, 2017 dan 2020 serta merupakan salah satu penganjur terbaik bagi Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) apabila menjadi tuanrumah Siri Ke-33 yang diadakan pada tahun 2022 yang lalu.
Sepanjang tahun ini pula rejimen yang berpangkalan di Kem Bukit Keteri, Perlis tersebut telah dipilih menjadi hos kepada ‘Malaysian Polytechnic Territorial Army Annual Camp (MALPTAAC)’ yang dilaksanakan pada Jun dan Julai 2024 yang melibatkan penyertaan sebanyak 16 buah Politeknik dari seluruh negara dengan kekuatan seramai 29 pegawai dan 609 pelajar. Ia juga berjaya menganjurkan Hari Ulang Tahun Askar Wataniah (HUT) ke-66 pada Jun 2024 yang melibatkan 37 pegawai dan 440 anggota dari pelbagai unit Askar Wataniah seluruh Malaysia.
Demikian dikongsikan oleh Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji kepada Pemangku Raja Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika Baginda berkenan mengetuai kayuhan amal sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen 504 Askar Wataniah Yang ke-44 di sekitar Kampung Abi Batas Paip, Kangar.
Program tersebut disekalikan dengan Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Para asnaf yang terpilih pada edisi kali ini adalah Ruslina Ching, 70 tahun daripada Kampung Abi Batas Paip, Rahmah Che Hussin, 76 tahun, dari Kampung Abi Kubang Badak dan Kama Afisha Kamarjan, 43 tahun juga dari kampung yang sama. Setiap daripada mereka menerima sumbangan MAIPs berupa wang tunai RM 700, Kits MAIPs Peduli dan beras Fidyah.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah turut berkenan singgah mengadakan lawatan ke Homestay PJ Village di Kampung Pokok Jawi, Abi bagi memberi sokongan moral kepada industri pelancongan negeri ini sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025. Homestay ini menyediakan 4 unit berkonsepkan kontena yang terdiri daripada rumah dan cabin bertingkat yang mampu menempatkan sekitar 25 orang dengan kelengkapan seperti kolam mandi yang besar, pantri, kamera litar tertutup (CCTV) bagi keselamatan dan juga tempat letak kenderaan persendirian. Homestay PJ Village memulakan operasinya sebulan yang lalu mendapat tempahan yang tinggi terutamanya pada musim cuti sekolah yang akan bermula pada hujung minggu ini.