Nasional

Raja Perlis terima mengadap Duta Uzbekistan

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menerima mengadap oleh Duta Besar negara Uzbekistan ke Malaysia Tuan Yang Terutama Karomiddin Gadoev di Kangar pada petang semalam.

Turut berangkat sama adalah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Perlis merupakan negeri pertama beliau mengadakan lawatan kerja sejak berpindah ke Malaysia sembilan bulan yang lalu.

Karomiddin yang diiringi sama oleh Kaunselor Perdagangan dan Ekonomi Kedutaan Republik Uzbekistan di Kuala Lumpur, Mutalibjon Khojimurotov mengalu-alukan sebarang kerjasama saling menguntungkan antara Perlis dan Uzbekistan khususnya dalam sektor ekonomi.

Uzbekistan merupakan sebuah negara yang kaya dengan sumber ekonomi berteraskan sumber tenaga boleh diperbaharui, kimia, farmaseutikal dan tekstil, industri perlombongan dan metalurgi, pemprosesan produk pertanian dan industri makanan, kejuruteraan dan pembinaan.

Beliau juga berharap lebih banyak kerjasama dapat dijalinkan antara Perlis dan Uzbekistan dalam sektor pendidikan melalui Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang pernah mempunyai banyak pelajar mereka serta pelbagai aktiviti silang budaya ketika era pra-Covid dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) ketika ini mempunyai dua orang pelajar dari sana dengan menambah pelajar antarabangsa dari Uzbekistan serta dalam industri pelancongan Islam.

Untuk rekod Tuanku Syed Sirajuddin ketika memegang tampuk pemerintahan sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Malaysia ke 12 bersama-sama Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid pernah berangkat mengadakan lawatan negara ke Uzbekistan pada tahun 2003.

(Foto : Istana Arau)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button