Acara

Pemangku Raja Perlis tegas penting kerjasama berpasukan

KANGAR 4 Sept. – Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan bahawa perkara yang sangat penting dalam menjalankan sesuatu tugas adalah kerjasama dalam pasukan. Penerapan semangat kerjasama dan saling membantu khususnya pengurusan sistem pentadbiran yang berteraskan semangat perpaduan dan kerjasama mampu mencapai kejayaan yang lebih gemilang.

Baginda bertitah, proses pembangunan latihan juga sangat penting bagi melahirkan pengurusan yang cemerlang, cekap dan kompeten dalam melaksanakan tugas.

“Saya ingin menekankan kepada semua tentang betapa pentingnya untuk Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) mempunyai pelan pembangunan bakat. Saya amat bersetuju dengan perancangan Pengurusan Eksekutif KUIPs dalam mewujudkan Pelan Penggantian yang merupakan usaha dalam melahirkan pemimpin muda yang berpengetahuan, berkemahiran, dan mampu memegang jawatan strategik di masa hadapan”, titah Baginda lagi.

Demikian titah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat ke Majlis Apresiasi Staf Tahun 2023 Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang berlangsung di Hotel Putra Regency, Kangar.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba Baginda berdua diiringi disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah KUIPs, Sahibus Samahah Datuk Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti KUIPs, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin, Pemangku Timbalan Rektor Akademik KUIPs, Prof. Dr. Basri Ibrahim dan pegawai-pegawai kanan universiti..

Prof. Dr, Basri dalam ucapanya menyatakan sebanyak lapan anugerah diperkenalkan pada tahun ini termasuk dua anugerah baru yang diwujudkan iaitu Anugerah Cemerlang Staf Akademik Dalam Skop Penyelidikan dan Inovasi dan Anugerah Penjawat Cemerlang.

Bagi Anugerah Cemerlang Staf Akademik Dalam Skop Penyelidikan dan Inovasi yang diperkenalkan adalah bagi memberi pengiktirafan dan motivasi yang berharga atas usaha individu yang memacu kemajuan dalam bidang akademik, penyelidikan dan inovasi di kampus ini, ujar beliau lagi.

Majlis ini dianjurkan bagi memberi pengiktirafan yang penting bagi mendorong kakitangan dan warga KUIPs bagi mengekalkan kecemerlangan, memotivasi, dan memastikan perkhidmatan di jabatan masing-masing berfungsi dengan efektif dan berkualiti tinggi.

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Canselor KUIPs turut berkenan untuk menyempurnakan pengurniaan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 14 orang penerima, Anugerah Pejawat Cemerlang kepada 5 penerima dan Pengurniaan cenderahati penghargaan kepada Dr. Abdul Basir Awang.

Tuanku Raja Puan Muda pula berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah Pendidik Cemerlang, Anugerah Jabatan/Pusat Tanggungjawab (PTj) Cemerlang, Anugerah Pusat Pusat Pengajian Cemerlang dan Anugerah Cemerlang Staf Akademik dalam Skop Penyelidikan dan Inovasi kepada 8 orang penerima.

Tuanku Pemangku Raja Perlis menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada kesemua penerima anugerah dan warga kerja serta pihak pengurusan KUIPs yang telah bertungkus lumus membangunkan kerangka kerja yang kondusif, ekosistem pentadbiran yang berlandaskan kerukunan Islam serta membumikan agenda ‘Di Sini pencinta Sunnah Dilahirkan’.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button