Agama

Perlis tuan rumah tilawah, hafazan kebangsaan

KANGAR 3 Sept. – Negeri Perlis dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran (MTHQK) Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2025M yang akan diadakan pada tahun hadapan.

Tarikh MTHQK yang akan melibatkan penyertaan seramai 112 peserta daripada seluruh negara akan diputuskan secara rasmi kepada umum sebelum penghujung tahun ini. Secara umumnya, setiap negeri diwakili oleh lapan peserta iaitu dua peserta dalam kategori Tilawah Al-Quran manakala enam peserta dalam kategori Hafazan al-Quran.

Penganjuran Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran setiap tahun merupakan bertujuan untuk memperkasakan syiar Islam di negara ini berasaskan kerjasama yang kolektif dalam meneruskan usaha menerapkan budaya minat membaca terhadap Al-Quran, memahami intipatinya beserta mengaplikasikan tuntutan dan menjauhi larangan Yang Maha Esa.

Demikian dipersembah maklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar kepada Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam satu majlis sembah mengadap yang diadakan di Dewan Kulliyyah Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Behor Temak, Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Mufti Perlis, Sahibus Samahah Prof. Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Hakim Syarie Negeri Perlis, YAA Haji Jaidi Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs) Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Najmuddin Abdul Karim.

Mengiringi Menteri ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dr. Ruslan Said.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs menzahirkan rasa sukacita atas pemilihan negeri ini sebagai tuan rumah bagi majlis peringkat kebangsaan yang dinanti-nantikan oleh peserta tilawah seluruh negara. Baginda berharap agar Perlis akan terus mendapat perhatian penganjur-penganjur bagi sebarang pertandingan dan kejohanan bagi merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 yang sedang berlangsung sehingga penghujung tahun hadapan, Sambutan Jubli Perak iaitu 25 Tahun Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Raja Perlis pada 16 April 2025 dan seterusnya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button