Nasional

Malaysia-Switzerland berpotensi besar tingkat hubungan dua hala pelbagai bidang

KANGAR 28 Ogos – Malaysia dan Switzerland berpotensi besar untuk mempertingkatkan kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor. Dengan mengambil kira kepakaran Switzerland dalam pelbagai industri berteknologi tinggi, dan kedudukan ekonomi Malaysia yang semakin berkembang, kedua-dua negara mampu meraih manfaat daripada kerjasama yang lebih erat dalam sektor–sektor seperti perdagangan, pendidikan, ekonomi digital, dan teknologi hijau.

Usaha bersama dalam bidang seperti industri halal dan pelancongan juga boleh membuka peluang baharu untuk pertumbuhan ekonomi bersama.

Demikian disembah maklum oleh Kuasa Usaha Sementara Malaysia di Berne, Ahmad Benyamine Noor Rahimin, menurut kenyataan media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas menerima sumbangan Ibnu Sabil MAIPs berjumlah RM2,500 bagi pihak Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Berne, Switzerland.

Simbolik penyerahan sumbangan daripada MAIPs itu telah disampaikan oleh Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail kepada Ahmad Benyamine dan Setiausaha Kedua, Safrizan Abdul Karim di perkarangan Restoran Bistro Asia Hot Wok di Regensdorf, Zurich, baru-baru ini.

Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Menurut beliau, ‘Malaysia dan Switzerland yang merupakan salah satu negara ahli European Free Trade Association – EFTA sedang menjalankan proses rundingan Malaysia–European Free Trade Association Economic Partnership Agreement – MEEPA yang merupakan perjanjian perdagangan berpotensi besar untuk memacu aktiviti ekonomi dan pelaburan di antara Malaysia dan Switzerland’.

Hubungan dua hala Malaysia dan Switzerland disokong oleh sektor perdagangan di mana, bagi tempoh antara Januari hingga Disember 2023, jumlah perdagangan Malaysia dan Switzerland telah meningkat sebanyak 1.6% kepada RM10.79 billion (USD2.37 billion).

Malaysia dan Switzerland telah menjalinkan hubungan sejak tahun 1963 lagi dan sehingga kini kedua–dua negara telah menikmati hubungan diplomatik yang erat. Pada tahun 2023, kedua-dua negara juga telah meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Switzerland.

Untuk rekod, Tabung Ibnu Sabil daripada MAIPs disalurkan melalui beberapa buah pejabat Perwakilan Malaysia terpilih di luar negara bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia yang berhadapan dengan situasi kecemasan, terputus bekalan sara diri atau terkandas untuk kembali ke tempat asal atau meneruskan perjalanan.

Ia adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab MAIPs dalam agihan ibnu sabil dan pengantarabangsaannya.

(Foto : MAIPs)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button