Berita

Lawatan Pemangku Raja Perlis, perkuatkan hubungan Malaysia – Nigeria

KANGAR 26 Ogos – Keberangkatan Lawatan Khas Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dilihat dapat memperkuatkan lagi hubungan antara Malaysia dan Nigeria.

Komitmen tinggi Tuanku Pemangku Raja Perlis bersama Delegasi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) disertai Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor terzahir melalui pelbagai lawatan dan jaringan kerjasama bersama pelbagai pihak berautoriti di Nigeria dalam lawatan khas berkenaan.

Demikian, menurut kenyataan media MAIPs yang dikongsikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Nigeria, TYT Aiyub Omar.

Beliau berucap demikian ketika menyambut keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin Putra bersama-sama anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail yang juga Waris Kedua Negeri Perlis ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja sempena Safar Ilmi MAIPs ke negara tersebut baru-baru ini.

Menurut TYT Aiyub, hubungan diplomatik antara Malaysia dan Nigeria telah bermula sejak tahun 1965 lagi melalui pembukaan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Lagos pada tahun 1965 yang menjadi ibu negara Nigeria pada masa itu dan pembukaan misi diplomatik Nigeria di Kuala Lumpur pada tahun 1991.

“Malaysia dan Nigeria mempunyai hubungan ekonomi dan sosial yang signifikan, dengan Nigeria menjadi salah satu negara penerima bantuan pembangunan dua hala Malaysia menerusi dana Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) bagi membangunkan kapasiti sumber manusia mereka dalam bidang-bidang kenegaraan yang penting antaranya perdagangan, ekonomi, pembinaan, keselamatan siber, kesihatan, pentadbiran awam, pengurusan alam sekitar, diplomasi dan pendidikan” tambah beliau.

Mohd Nazim ketika mengulas kerjasama antara MAIPs dan Nigeria berkata, buat masa ini, MAIPs telah berkongsi mengenai pengalaman pengurusan dana hal ehwal seperti zakat, wakaf dan sumber am dengan beberapa organisasi Islam di Nigeria seperti Majlis Tertinggi Nigeria bagi Hal Ehwal Islam (NSCIA), Persatuan Nasrul-lahi-l-Fafih (NASFAT) termasuklah Suruhanjaya Zakat dan Wakaf Negeri Sokoto (SOZECOM) yang telah mengadakan lawatan ke Perlis pada tahun 2023 lalu.

“Buat masa ini, seramai 84 pelajar Nigeria yang menerima Biasiswa Pendidikan Tinggi MAIPs sedang melanjutkan pelajaran di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung di bawah MAIPs,” tambah beliau.

Selain itu, Jabatan Mufti Negeri Perlis turut terlibat dalam beberapa Program Ilmiah dan dakwah di Nigeria serta Pemangku Raja Perlis sendiri turut berkenan memenuhi jemputan Sultan Sokoto yang merupakan Presiden Umum bagi NSCIA.

Sementara itu, dalam satu program berasingan ketika di sana, anakanda Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra berkenan berangkat menyaksikan satu perlawanan bolasepak belia di antara AS Roma Under 16 melawan Young Stars Under 16 di Stadium Nasional Moshood Abiola Abuja dan disambut oleh Pengurus Stadium, Builder Adams Abdullahi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button