Kemalangan

Persatuan pengguna padang serius kejadian “tayar terbang”

Persatuan Pengguna Jalanraya (PPJK) memandang serius insiden melibat pengguna-pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal yang nyaris maut “dihentam” tayar terbang.

Pengasasnya, Datuk Mohammad Hisham Shafie berkata, perkara ini bukanlah pertama kali berlaku akan tetapi sudah berulang kali berlaku di jalan-jalan seluruh Malaysia.

Memandangkan isu tayar terbang ini kerap berlaku melibatkan kenderaan berat adalah lebih baik pihak berwajib melaksanakan pemeriksaan berkala secara wajib dalam masa yang lebih kerap supaya dapat memastikan kenderaan-kenderaan berat lebih selamat semasa berada diatas jalan raya, katanya dalam kenyataan.

“Pihak berkenaan perlu lebih bertanggungjawap untuk memeriksa semua kenderaan-kenderaan mereka sekerap mungkin sebelum memulakan satu-satu perjalanan.

“PPJK juga percaya ada beberapa cara lagi untuk memperkukuh sistem pemeriksaan kenderaan-kenderaan berat bagi meningkatkan keselamatan kepada penguna-pengguna jalan raya di Malaysia,” katanya.

Dalam kejadian semalam, seorang penunggang motosikal hampir menemui ajal selepas sebiji tayar lori menghentamnya ketika berada di atas jalan raya.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.46 pagi semalam itu difahamkan berlaku di persimpangan Taman Bukit Seputeh berhampiran pusat beli-belah Mid Valley.

Kemalangan itu dirakam kamera papan pemuka (dashcam) milik seorang pemandu.

Menurut pemilik dashcam, Mohd Zulhelmie Zullifan, katanya dia dan pemandu lori itu telah membuat laporan polis mengenai kemalangan itu.

“Semalam kira-kira jam11.46 pagi saya berada di belakang motosikal itu, manakala lori itu pula berada di depan. Tiba-tiba tayar depan lori itu tercabut dan melambung lalu menghentam pembahagi jalan di sebelah kiri.

“Kemudian, tayar itu terus menghentam pemandu motor itu, dan dia jatuh. Tayar tu pula naik atas bonet kereta saya.

“Saya tengok penunggang motosikal itu dah terbaring, jadi saya berhenti di hadapan sedikit dan patah balik untuk tengok dia.

Menurutnya, kejadian ngeri itu menyebabkan dia berasa takut dan bimbangkan keselamatan penunggang motosikal itu.

“Saya memang cemas, sebab takut terlanggar dia, tapi bila dah elak dia, takut pulak sebab tayar tu naik atas kereta saya.

“Tapi lepas parking tepi tu, saya risaukan penunggang tu, sebab kita nampak hentaman tu depan mata. Nampak teruk.” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Katanya, dia terus menghubungi ambulans bagi mendapatkan bantuan.

“Masa saya call nombor kecemasan tu, dia dah pesan jangan bagi mangsa bergerak terlalu banyak. Tapi dia (mangsa) nak juga bangun.

“Dia kemudian minta carikan kaca mata dia, mujur kami jumpa di atas jalan.

Katanya, mangsa selamat, namun mengalami kecederaan di bahagian kepala.

“Ketika first responder dari DBKL sampai dah periksa dia, katanya lukanya tidak teruk.

“Kami lihat pun dia tiada pendarahan yang teruk, cuma sedikit luka di kepala.

“Telefon bimbit dia ada, tetapi kami tidak boleh hubungi keluarga kerana telefon dia sudah tidak boleh nak on.

“Jadi lepas kira-kira 45 minit, ambulans pun sampai dan bawa dia ke hospital. Saya dan pemandu lori ke balai polis untuk buat laporan polis”.

Terdahulu tular di media sosial, seorang penunggang motosikal yang dihentam sebuah tayar dipercayai milik kenderaan berat yang tiba-tiba melayang ke arah penunggang motosikal tersebut yang berada di lorong tengah.

Akibat kejadian itu, mangsa tercampak di atas jalan raya dan motosikalnya berpusing beberapa kali.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button