Nasional

Pengukuhan Majlis Agama Islam Perlis – Nigeria ke arah pemberdayaan ummah – Pemangku Raja Perlis

KANGAR 21 Ogos – Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar usaha untuk memperkukuhkan organisasi Majlis Agama Islam perlu dilestarikan bagi melaksanakan agenda pemberdayaan ummah yang menyeluruh.

Demikian titah Baginda menurut kenyataan media MAIPs ketika berkenan mengetuai sesi interaktif antara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Majlis Tertinggi Nigeria bagi Hal Ehwal Islam (NSCIA) sempena Safar Ilmi MAIPs ke negara berkenaan baru-baru ini.

Keberangkatan Baginda disambut Pemerintah Negeri Zamfara Nigeria, Emir Muhammad Lawal Gummi, mewakili Sultan Sokoto yang juga merupakan Presiden Umum NSCIA, Alhaji Muhammad Sa’ad Abubakar CFR.

Menyambut keberangkatan Baginda adalah Setiausaha Agung NSCIA, Prof Is-haq Olanrewaju Oloyede dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Zakat dan Wakaf Negeri Sokoto, Sadaukin Sokoto Muhammad Lawal Maidoki.

Turut hadir Imam Masjid Negara Abuja, Imam Prof Ibrahim Ahmad Makari dan Imam Shiekh Ahmad Onilewura serta Imam Dr Muhammad Kabir Adam.

Mengiringi Baginda, Anakanda yang juga Waris Kedua Negeri iaitu Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Abuja, TYT Aiyub Omar, Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam sesi berkenaan, beberapa cadangan kerjasama perkongsian kepakaran telah dibincangkan merangkumi perbankan Islam, pengurusan halal serta pentadbiran zakat, wakaf dan sedekah.

Selain itu, kedua belah pihak bersetuju untuk dilaksanakan kerjasama dalam bidang pendidikan, pelaksanaan program pertukaran silang budaya dan sejarah warisan.

NSCIA ialah pihak berkuasa Islam tertinggi di Nigeria yang ditubuhkan pada tahun 1973 untuk memelihara, melindungi, dan memajukan kepentingan Islam dan umat Islam di seluruh Nigeria serta diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri Nigeria.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button