Acara

Pemangku Raja Perlis pelawa pelancong nikmati keindahan, keunikan Perlis

KANGAR 17 Ogos – Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengundang para pelancong melawat keindahan alam semulajadi negeri Perlis dan menikmati pelbagai jenis juadah makanan yang enak dengan harga yang amat berpatutan.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran Promosi Masakan Perlis yang diadakan di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek, Namibia baru-baru ini.

Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengenai keberangkatan Baginda mengetuai Safar Ilmi MAIPs yang diiringi anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail yang juga waris yang kedua Negeri ke majlis tersebut.

Istimewa lagi ialah ‘Kurma Daging Perlis’ telah dimasak sendiri oleh Isteri Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Whindoek iaitu Datin Noor Zulaikha Nangaie di hadapan kira-kira 60 ahli Persatuan Persahabatan Malaysia Namibia (Namibian Malaysian Friendship Association – NMFA) yang hadir.

Promosi bersempena kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 itu dilaksanakan oleh pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Whindoek dengan kerjasama MAIPs, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) bagi membantu memperkenalkan negeri Perlis sebagai sebuah lagi destinasi pelancongan baru di utara Malaysia.

Keberangkatan Baginda disambut oleh Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Whindoek, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya dan Presiden NMFA, Dr Armas EE Shikongo.

NMFA ditubuhkan pada 28 Mei 2024 bertujuan mewujudkan jaringan kerjasama dan semangat persahabatan antara rakyat Malaysia dan masyarakat Namibia serta membantu pihak perwakilan Malaysia dalam pelbagai lapangan bidang seperti kebajikan, sukan, pendidikan dan kemanusiaan.

Turut mengiringi Tuanku Pemangku Raja ialah Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Dr Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button