Pemangku Raja Perlis menyeru semua rakyat aktif bersukan
KANGAR 17 Ogos – Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar rakyat negeri Perlis di setiap peringkat umur, muda hingga tua tanpa mengira jantina terus menerus aktif bersukan berdasarkan kemampuan dan minat individu masing-masing.
Jabatan, agensi dan swasta serta semua majikan disarankan untuk membantu merancang dan menyediakan fasilitas sukan di lokasi khusus yang mudah diakses semua warganya dengan ditadbir oleh pihak pengurusan dan kakitangan yang berpengalaman dan berkepakaran dalam sukan tertentu
Kelab-kelab sukan juga perlu diwujudkan di setiap taman perumahan dan kampung.
Aktiviti dan penyertaan bagi golongan wanita pula perlu lebih diperkasakan. Wanita sinonim dengan aktiviti seperti zumba dan juga senam robik, namun mereka juga wajar memulakan kembali berkecimpung dalam aktiviti-aktiviti sukan lain yang pernah diceburi ketika zaman persekolahan dahulu.
Demikian titah Baginda menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan meluangkan masa sempena program Safar Ilmi MAIPs ke Windhoek dan singgah menyaksikan sesi latihan pasukan African Stars Football Club yang merupakan penyandang juara Namibia Premier Football League baru-baru ini.
Berangkat sama ialah anakanda Baginda yang juga waris yang kedua Negeri, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Turut mengiring ialah Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Namibia, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya barsama-sama Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Dr Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Pada masa yang sama Tuanku Pemangku Raja mencadangkan supaya pihak Majlis Sukan Negeri Perlis menggalakkan badan-badan sukan negeri mewujudkan lebih banyak pertandingan dan menjadi tuan rumah bagi sukan masing-masing bermula dari peringkat bakat muda sehingga kebangsaan dan seterusnya antarabangsa.
Langkah ini secara tidak langsung akan berjaya melahirkan atlet sukan dari Negeri Perlis yang mampu menghadiahkan kilauan pingat untuk Perlis bagi kejohanan seperti Sukan Malaysia (SUKMA) seterusnya mewakili Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi seperti temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA), Sukan Komanwel , Sukan Asia dan Sukan Olimpik.